
MELAKA – Kementerian Pertahanan hari ini melancarkan inisiatif Harga Istimewa, Tentera Sejahtera (HITS), yang menawarkan 308 pelbagai barangan keperluan harian dengan harga lebih murah.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, barangan dengan tawaran diskaun sehingga 30 peratus itu, boleh dibeli di 80 outlet Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (Pernama) di seluruh negara pada sepanjang masa khusus bagi warga tentera dan veterannya.
“Sebelum ini, kita telah jayakan banyak usaha-usaha dalam membawa kesejahteraan dalam soal perumahan, dalam soal kebajikan, dalam soal kesihatan, dalam soal pendidikan, dalam soal kemahiran, dan dalam soal ekonomi.
“Hari ini, kita lengkapkan dengan soal, dalam soal pembelian perbelanjaan barangan dapur untuk anggota. Pernama akan memainkan peranan besar untuk menawar dan menyediakan barangan dengan harga yang betul-betul berpatutan dan murah, malah lebih murah daripada harga luar,” katanya selepas Majlis Pelancaran HITS di Pernama Kem Terendak di sini hari ini.
Hadir sama Panglima Tentera Darat Jen. Tan Sri Azhan Md. Othman, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokmam Hakim Ali dan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.
Dalam pada itu, Mohamed Khalid berkata, Pernama perlu memulangkan kembali keuntungan diperolehnya kepada anggota tentera, menerusi jualan barangan lebih murah di outlet yang dioperasikan perbadanan berkenaan.
“Dengan keuntungan besar yang Pernama buat, kita percaya untung itu boleh dipulangkan balik. Macam koperasilah, dia buat untung, lepas itu akhirnya dia bagi balik kepada anggota-anggota tetapi untuk itu berlaku, anggota tentera mesti sokong Pernama.
“Lagi tinggi dia punya penjualan, lagi baik pulangan itu akan diberi kepada anggota,” katanya. – Bernama
The post Tentera, veteran nikmati 308 barangan harga istimewa appeared first on Kosmo Online.






