Lebih 13,000 terima manfaat program makanan #SunwayforGood

Business & Finance
17 Sep 2026 • 4:54 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Lebih 13,000 terima manfaat program makanan #SunwayforGood

PETALING JAYA: Program Makanan #SunwayforGood oleh Sunway Group memberi manfaat kepada lebih 13,000 penerima di seluruh negara menerusi lima inisiatif berasaskan makanan sepanjang sebulan.

Program yang merupakan sebahagian daripada kempen Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Sunway, Sejahtera Bersama itu diakhiri dengan sambutan Hari Malaysia bersama kira-kira 2,000 anggota komuniti Desa Mentari di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Strategi Jenama Sunway Group, Nik Tasha Nik Kamaruddin berkata, #SunwayforGood memberi tumpuan kepada usaha menyatukan rakyat Malaysia dalam menyokong komuniti yang memerlukan.

“Daripada Rumah Sahabat hingga Desa Mentari, program tahun ini menunjukkan bagaimana tindakan kolektif di seluruh negara mampu menghasilkan impak yang bermakna.

“Kerjasama kami dengan Burger Rumah Sahabat turut menunjukkan bagaimana pemerkasaan secara mampan dapat membantu satu komuniti meningkatkan kesejahteraan komuniti lain.

“Berpandukan kepercayaan kami terhadap prinsip Doing Well by Doing Good, kami berharap dapat terus bekerjasama dengan rakan dan komuniti untuk mewujudkan peluang serta membina masyarakat yang lebih inklusif,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan sepanjang program itu termasuk pengagihan barangan kering kepada isi rumah yang memerlukan serta Sunway Meal Pack-a-Thon yang menghimpunkan sukarelawan untuk menyediakan dan mengagihkan pek makanan di seluruh negara.

Katanya, pada sambutan penutup di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebanyak 2,000 burger yang disediakan Burger Rumah Sahabat diagihkan kepada komuniti bersama aiskrim, otak-otak, popiah dan minuman sumbangan usahawan Selangor Youth Community.

“Sambutan ini turut disertai aktiviti untuk kanak-kanak dan keluarga termasuk melukis wajah, menghias burger, menghasilkan rantai kunci lestari serta klinik bola sepak,” katanya.

Sambutan berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Puteri Selangor, Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Presiden Sunway Group, Datuk Anuar Taib, sukarelawan dan rakan komuniti mengagihkan makanan kepada masyarakat setempat.

Antara teras program ialah Burger Rumah Sahabat, perniagaan makanan yang dikendalikan penghuni yang sedang menjalani proses pemulihan daripada penyalahgunaan bahan terlarang dan ditubuhkan dengan sokongan SAY.

Dalam pada itu, Sunway membeli 5,000 burger daripada perniagaan berkenaan, sekali gus menyediakan pendapatan, akses pasaran dan pengalaman kepada penghuni terbabit dalam memenuhi pesanan komersial berskala besar.

Daripada jumlah itu, 500 burger diagihkan ketika pelancaran, 2,500 burger menerusi trak makanan Burger Rumah Sahabat, manakala baki 2,000 burger diagihkan pada sambutan penutup hari ini.

Program itu dilaksanakan bersama rakan Sunway termasuk Selangor Youth Community, Yayasan Kebajikan Negara, Malaysian Red Crescent Society, Kechara Soup Kitchen dan Rise Against Hunger Malaysia. – UTUSAN

The post Lebih 13,000 terima manfaat program makanan #SunwayforGood appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved