Kemudahan parkir sementara, simpanan kontena di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar

LocalBusiness & Finance
15 Nov 2026 • 9:55 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Kemudahan parkir sementara, simpanan kontena di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar

Isu kesesakan dan parkir lori treler kontena di bahu jalan sekitar Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar (SBCP) akan ditangani menerusi penyediaan tapak parkir sementara oleh Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) serta pembangunan kawasan penyimpanan kontena tambahan seluas 14 ekar oleh Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB).

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, berkata tapak parkir sementara seluas lebih satu ekar itu mampu menampung sehingga 50 lori treler pada satu-satu masa.

Menurutnya, kemudahan itu mula digunakan oleh syarikat perkhidmatan lori treler sejak bulan lalu bagi mengatasi kekurangan tempat parkir, khususnya apabila depo sedia ada di KKIP penuh atau tidak lagi menerima kontena selepas waktu operasi.

“Isu yang timbul selama ini ialah ketiadaan kawasan parkir sementara alternatif untuk treler kontena, terutama apabila depo di KKIP sudah penuh atau tidak lagi menerima kontena selepas waktu operasi.

“Justeru, KKIP mengambil langkah proaktif menyediakan kawasan parkir sementara yang kini mula digunakan oleh syarikat perkhidmatan lori treler sejak bulan lalu,” katanya. Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan penyelarasan penguatkuasaan larangan meletakkan treler kontena di bahu jalan sepanjang Jalan Pelabuhan Sepanggar, di sini, pada Jumaat.

Mesyuarat itu turut dihadiri wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), SPSB dan KKIP.

Ewon yang juga Pengerusi KKIP berkata, penyediaan kedua-dua kemudahan itu merupakan sebahagian daripada 10 Pelan Tindakan Sementara yang diperakukan Kabinet Kerajaan Sabah bagi menangani kesesakan di kawasan pelabuhan berkenaan.

Katanya, langkah jangka pendek, sementara dan panjang sudah dikenal pasti, manakala kementeriannya (Mindet) bertanggungjawab menyelaras pelaksanaan inisiatif berkaitan.

Beliau berkata, LPKP Sabah melaksanakan lebih 3,000 tindakan penguatkuasaan sepanjang 2024 hingga 2026, termasuk mengeluarkan 2,085 notis pelanggaran syarat lesen, 846 surat amaran dan 82 surat penggantungan, selain membatalkan 16 permit treler yang melanggar peraturan.

Tindakan itu termasuk kesalahan meletakkan lori treler di bahu jalan serta pelanggaran syarat permit yang ditetapkan.

Ewon turut menegaskan kepentingan menguatkuasakan syarat wajib bagi setiap syarikat pengangkutan memiliki depo sendiri sebelum memohon atau memperbaharui permit treler.

Mengulas lanjut, beliau berkata kapasiti tapak parkir sementara KKIP itu boleh ditingkatkan mengikut keperluan pengguna kerana masih terdapat kawasan tanah tambahan yang boleh dimanfaatkan.

Katanya, DBKK akan membantu KKIP mewartakan penggunaan sementara kawasan itu sebagai depo atau tapak parkir lori treler, selaras dengan keputusan Kabinet Kerajaan Sabah. Kemudahan itu juga membolehkan syarikat perkhidmatan lori treler menggunakannya sebagai depo ketika memperbaharui permit tahunan masing-masing.

Beliau berkata, beberapa syarikat sudah mula menggunakan kemudahan itu, manakala agensi penguatkuasaan akan membantu memastikan syarikat berkaitan memanfaatkan tapak berkenaan dan tidak lagi meletakkan kenderaan di bahu jalan.

Menurutnya, pemantauan mingguan pihak berkuasa mendapati jumlah lori treler yang diletakkan di bahu jalan sekitar kawasan itu boleh mencecah 200 buah.

“Kompaun sebanyak RM300 yang dikenakan bagi kesalahan meletakkan treler di bahu jalan sebenarnya sudah boleh menampung kadar sewa tapak parkir sementara ini untuk tempoh hampir sebulan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ewon turut meninjau tapak seluas 14 ekar bersebelahan SBCP yang akan dibangunkan SPSB sebagai kawasan penyimpanan kontena tambahan. Menurutnya, kemudahan itu penting bagi memenuhi keperluan syarikat perindustrian berskala besar di KKIP, khususnya kilang yang beroperasi 24 jam dan memerlukan kemudahan eksport serta import melalui SBCP sepanjang masa.

Kawasan berkenaan turut dirancang sebagai tempat penyimpanan sementara produk berasaskan kayu milik Persatuan Perusahaan Kayu-Kayan Sabah (STIA).

Beliau berkata, pelaksanaan kesemua 10 Pelan Tindakan Sementara itu akan diteruskan sehingga projek pembesaran SBCP yang sedang berjalan siap sepenuhnya.

Bagi perancangan jangka panjang, katanya, keseluruhan kawasan Pelabuhan Teluk Sepanggar akan dibangunkan sebagai pelabuhan bersepadu moden, bermula dengan menyiapkan projek pembesaran semasa sebelum diteruskan dengan fasa seterusnya.

“Mindet akan terus memperkasa inisiatif bersesuaian supaya aktiviti perindustrian dapat dijalankan tanpa mengabaikan aspek keselamatan. Ini memerlukan kerjasama dan komitmen semua pihak, termasuk syarikat perkhidmatan lori treler.

“Selagi diberi mandat dan tanggungjawab, saya akan terus memimpin usaha bersama pelbagai pihak dan pemegang taruh bagi memastikan pelabuhan di Sabah menyumbang dengan lebih baik kepada pembangunan perindustrian dan keusahawanan negeri ini,” katanya.

Ewon turut memaklumkan bahawa beberapa perkara berkaitan ekosistem pelabuhan akan dibawa untuk perbincangan dengan kementerian berkaitan di peringkat Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pengurusan dan operasi pelabuhan di Sabah terus diperkukuh.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved