Treler akan dilarang parkir di jalan ini

LocalPolitics
24 Oct 2026 • 4:57 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Treler akan dilarang parkir di jalan ini

Kota Kinabalu: Meletakkan kenderaan di bahu jalan oleh treler kontena di sepanjang Pelabuhan Sepanggar akan dilarang berikutan tragedi pada Ahad lalu di mana seorang bapa dan anak perempuannya maut selepas Toyota Avanza yang dinaiki mereka dihempap kontena yang terbalik semasa dimuatkan ke atas treler.

Satu mesyuarat khas yang melibatkan agensi-agensi penguatkuasaan akan diadakan bagi menyelaraskan tindakan, kata Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick.

Mesyuarat terbabit akan melibatkan Lembaga Lesen Kenderaan Perdagangan (LPKP), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

KERATAN akhbar mengenai kejadian yang meragut nyawa dua anak beranak itu.Agensi-agensi berkenaan akan membincangkan langkah-langkah untuk memastikan pematuhan terhadap larangan meletakkan treler kontena di bahu jalan di kawasan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan di sepanjang Jalan Pelabuhan Sepanggar.

Insiden maut itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Sabah dua hari lalu sekali gus membawa kepada langkah memperketatkan penguatkuasaan dan menangani isu keselamatan di sepanjang laluan berkenaan.

Ewon, yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Negeri, berkata inisiatif penguatkuasaan itu akan melengkapi usaha berterusan bagi mengurangkan kesesakan di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar, di mana ruang penyimpanan kontena yang terhad kekal menjadi kekangan operasi utama.

Beliau berkata satu jawatankuasa khas pelbagai agensi di bawah pengerusinya sedang memantau 10 pelan tindakan interim bagi menangani kesesakan sementara projek pembesaran pelabuhan diteruskan, dengan lanjutan masa (EOT) semasa kini sehingga Oktober 2027.

Salah satu langkah yang diluluskan oleh Kabinet Sabah ialah penyelarasan operasi 24 jam oleh agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam pelepasan kontena.

Pada masa ini, pengaturan terbabit dilaksanakan melalui kerja lebih masa (OT) oleh agensi-agensi berkaitan termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), berdasarkan permintaan daripada pengguna pelabuhan.

Bagaimanapun, Ewon berkata permohonan Sabah untuk mewartakan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar bagi operasi 24 jam masih menunggu kelulusan daripada Kementerian Kewangan Persekutuan.

Pengaturan yang dicadangkan itu bertujuan untuk meningkatkan penyelarasan dalam pelepasan kontena dan menyokong operasi pelabuhan namun pelaksanaan penuhnya masih tertakluk kepada kelulusan Persekutuan.

Satu lagi langkah interim ialah penyediaan kawasan tempat letak kenderaan transit untuk treler kontena oleh KKIP.

Ewon berkata kemudahan itu telah dibuka dan kini mula digunakan oleh syarikat-syarikat perkhidmatan treler kontena. Beliau menggesa semua pengendali agar menggunakan kawasan yang telah ditetapkan tersebut berbanding meninggalkan treler mereka di bahu jalan.

Kemudahan tempat letak kenderaan transit berkenaan merupakan salah satu daripada 10 pelan tindakan interim yang dipantau oleh jawatankuasa khas terbabit, yang terdiri daripada agensi-agensi kerajaan, persatuan-persatuan yang mewakili pengguna pelabuhan serta pemegang konsesi dan pengendali pelabuhan.

Ewon berkata Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (Mindent) akan terus memantau isu-isu yang menjejaskan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar dan menyelaraskan pelaksanaan langkah-langkah yang bersesuaian bagi meningkatkan kecekapan pelabuhan serta keselamatan jalan raya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved