
PETALING JAYA: Ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu lebih berani memberi peluang kepada muka baharu untuk menerajui badan induk bola sepak negara itu, kata pemerhati bola sepak tempatan, Profesor Madya Dr. Zulakbal Abd Karim.
Zulakbal berkata, pemilihan pucuk pimpinan baharu FAM wajar menjadi ruang untuk membawa pendekatan serta idea segar dalam usaha memperkukuh semula landskap bola sepak negara.
Pandangan itu timbul susulan laporan media semalam yang menyebut bakal calon Presiden FAM, Datuk Seri Shahril Mokhtar bersedia merebut kerusi No. 1 badan induk tersebut, namun beliau masih belum mengesahkan penyertaannya secara rasmi.

Zulakbal berkata, sekiranya Shahril mengesahkan hasrat untuk bertanding, ahli gabungan perlu menilai setiap calon berdasarkan kemampuan, visi serta perancangan yang mampu membawa perubahan kepada bola sepak Malaysia.
“Ahli gabungan perlu lebih berani untuk memberi peluang kepada muka baharu. Kita perlu melihat siapa yang mempunyai visi, perancangan dan kemampuan untuk membawa FAM ke arah yang lebih baik.
“Jangan hanya melihat kepada populariti seseorang calon, sebaliknya lihat apa yang boleh ditawarkan kepada bola sepak negara,” katanya.
Sekiranya sah bertanding, Shahril dijangka berdepan persaingan sengit daripada dua nama yang lebih berpengalaman dan dianggap popular dalam kancah bola sepak tempatan iaitu Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin dan Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan.
Menurut Zulakbal, persaingan yang sihat dalam pemilihan Presiden FAM penting bagi memastikan ahli gabungan mempunyai pilihan terbaik berdasarkan hala tuju yang ingin dibawa setiap calon.
“Kalau ada muka baharu yang mempunyai kemampuan dan idea yang baik, kenapa tidak kita beri peluang? Yang penting ialah kepentingan bola sepak Malaysia dan bagaimana FAM boleh bergerak lebih jauh selepas ini,” katanya.-UTUSAN
The post Kena berani beri peluang muka baharu terajui FAM appeared first on Utusan Malaysia.






