FAM perlu wujudkan peraturan lepaskan pemain

LocalFootball
24 Aug 2026 • 8:15 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: FAM perlu wujudkan peraturan lepaskan pemain

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu berani mewujudkan peraturan baharu yang lebih tegas dan konsisten berhubung pelepasan pemain ke skuad kebangsaan bagi memastikan isu sama tidak terus berulang.

Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, meskipun kelab mempunyai hak terhadap pemain yang mereka bayar gaji, kepentingan mewakili negara tidak seharusnya dianggap sebagai perkara sampingan.

Katanya, FAM boleh memperkenalkan peraturan tempatan atau local rule yang menetapkan implikasi tertentu terhadap pemain atau kelab yang berulang kali menolak panggilan skuad kebangsaan, khususnya bagi kejohanan penting di peringkat serantau.

“FAM perlu berani, perlu mempunyai satu peraturan yang konsisten dan mampan dalam hal mewakili negara supaya selepas ini semua orang akan ikut, tidak kiralah dia kelab kayangan atau kelab bawahan, dia kena ikut peraturan ini.

“Kalau dia tidak mahu bermain, mesti ada implikasinya kerana keutamaan kita adalah khidmat kepada negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pekan berkata, alasan sesebuah kejohanan tidak berada dalam kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) tidak seharusnya dijadikan tiket untuk mengetepikan kepentingan skuad kebangsaan.

Katanya, FAM boleh menyenaraikan kejohanan tertentu yang dianggap sebagai tugasan negara dan mewajibkan pemain memberikan alasan kukuh sekiranya enggan menyertai panggilan.

“Kalau panggilan pertama kita boleh terima justifikasi itu, tidak mengapa. Tetapi kalau sampai tiga kali, setiap kali panggilan atau setiap kali kejuaraan walaupun bukan dalam kalendar FIFA, kita tidak akan panggil lagi.

“Benda itu mesti konsisten. Ataupun mungkin tidak panggil, tetapi ada denda yang akan dikenakan,” katanya.

Beliau berkata, pemain juga mempunyai tanggungjawab terhadap negara, peminat serta semua pihak yang membantu membentuk karier mereka sejak di peringkat akar umbi.

“Kita kena ingat, diri kita sebagai pemain bola sepak ini bukan hak peribadi kita. Kita tidak boleh main bola sepak kalau tidak ada penonton.

“Jangan ingat hak kita ini hak kelab saja. Kita main untuk Malaysia, ada orang datang ke stadium beri sokongan sebab mereka mahu tengok kita bermain,” katanya. – UTUSAN

The post FAM perlu wujudkan peraturan lepaskan pemain appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved