sarah09/10/2026 - 08:48 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR, 9 Okt -- Setiap kenaikan gaji minimum sebanyak RM100 berpotensi mengurangkan pendapatan syarikat sektor pengguna antara 0.1% hingga 2.7%, menurut Kenanga Research.
Bagaimanapun, penganalisis berkata kenaikan itu boleh mengukuhkan pendapatan isi rumah dan permintaan domestik tanpa mencetuskan tekanan inflasi yang ketara.
Kenanga Research berkata, impak kenaikan gaji minimum berbeza mengikut segmen, dengan syarikat berintensifkan buruh berdepan tekanan kos lebih tinggi tetapi berpotensi mendapat manfaat daripada peningkatan perbelanjaan pengguna.
Firma itu berkata, kuasa beli isi rumah dijangka terus disokong bantuan fiskal bersasar seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), selain potensi kenaikan gaji.
Bagaimanapun, peningkatan kos buruh, elektrik, pengangkutan barangan dan input terpilih, ditambah keengganan pengguna menerima harga lebih tinggi, boleh menekan margin keuntungan syarikat.

Sementara itu, BIMB Securities berpandangan potensi pelaksanaan gaji minimum RM2,000 akan menyokong pendapatan isi rumah dan permintaan domestik, sekali gus menjadikan manfaat pertumbuhan ekonomi lebih inklusif.
Firma itu berkata, gaji bulanan median Malaysia meningkat daripada kira-kira RM1,500 pada 2010 kepada RM2,957 pada 2025, seiring kenaikan gaji minimum daripada RM900 pada 2013 kepada RM1,700 pada 2025.
Menurut BIMB Securities, kenaikan gaji minimum sebelum ini tidak mencetuskan tekanan inflasi ketara, dengan gaji median meningkat lebih pantas berbanding Indeks Harga Pengguna (IHP) dan Indeks Harga Pengeluar (IHPR).
Inflasi makanan kekal sebagai pemacu utama tekanan kos sara hidup, dengan makanan menyumbang kira-kira 30% daripada wajaran bakul IHP. Oleh itu, kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 lebih berkemungkinan meningkatkan pendapatan berbanding mencetuskan lonjakan inflasi mendadak.
Pekerja berusia 15 hingga 19 tahun dijangka antara penerima manfaat terbesar, dengan pendapatan median mereka diunjurkan sekitar RM1,899 pada 2026, di bawah paras gaji minimum yang dicadangkan.
BIMB Securities berkata, pelaksanaan gaji minimum RM2,000 pada 2027 boleh meningkatkan pendapatan median kumpulan itu sebanyak 5.3%, selain mengukuhkan insentif untuk menyertai pasaran tenaga kerja.
Bagaimanapun, impaknya dijangka tidak sekata merentas industri, khususnya sektor pembuatan yang berintensifkan buruh.
Kenanga Research turut melihat normalisasi kadar dasar semalaman (OPR) sebagai potensi cabaran, dengan meramalkan kemungkinan kenaikan 25 mata asas pada suku pertama 2027.
Firma itu berkata, sentimen pengguna dan harga saham melemah dalam dua daripada tiga kitaran kenaikan OPR sebelum ini.
Kenanga Research mengekalkan saranan 'Overweight' terhadap sektor pengguna, dengan menyatakan kebimbangan pasaran semakin dicerminkan dalam penilaian saham susulan kelemahan harga baru-baru ini.
Firma itu mengutamakan syarikat dengan permintaan defensif, pendedahan kos terkawal dan prospek pendapatan lebih jelas, dengan QL Resources Bhd sebagai pilihan utama pada penarafan 'Outperform' dan harga sasaran RM4.40.
- DagangNews.com






