sarah09/10/2026 - 11:38 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Okt – Cadangan pelantikan HI Mobility Bhd sebagai pengendali rangkaian Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) di Johor Bahru sehingga Mac 2031 berpotensi memberikan kestabilan pendapatan jangka sederhana kumpulan, jika dimuktamadkan.
Menurut JF Apex Securities Research (JF Apex Securities), HI Mobility menerima surat hasrat (LOI) daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Handal Indah Sdn Bhd (HISB), bagi cadangan pelantikan untuk tempoh 1 Januari 2027 hingga 31 Mac 2031.
Firma penyelidikan itu berpandangan, cadangan berkenaan selari dengan keupayaan sedia ada HISB dalam mobiliti pintar, integrasi teknologi, pengurusan armada dan pelaksanaan operasi, sekali gus menyokong penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam yang cekap dan boleh dipercayai.
Bagaimanapun, LOI itu tidak mengikat dari segi undang-undang, manakala skop perkhidmatan, terma kontrak dan nilai kontrak masih tertakluk kepada rundingan lanjut serta pemeteraian perjanjian berkaitan.
Dari segi prospek, JF Apex Securities kekal positif terhadap HI Mobility, disokong permintaan perjalanan domestik dan rentas sempadan yang berterusan serta pengembangan armada.
Setakat 31 Julai 2026, kumpulan itu mengendalikan 921 bas, termasuk 65 bas elektrik (EV), sekali gus menyediakan asas armada yang kukuh untuk menyokong operasi sedia ada dan pengembangan perniagaan.
Firma itu turut melihat projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura sebagai peluang untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan bagi perjalanan awal dan akhir penumpang. Pihak pengurusan sedang menyediakan 40 bas menjelang pembukaan perkhidmatan berkenaan bagi memastikan kesiapsiagaan armada.
Dalam perkembangan berkaitan, JF Apex Securities mengekalkan saranan 'BELI' terhadap HI Mobility dengan harga sasaran RM2.38 sesaham, tanpa perubahan kepada unjuran pendapatan sementara menunggu maklumat lanjut mengenai cadangan pelantikan itu.- DagangNews.com






