
MELAKA - Semua ketua cabang KEADILAN dicadangkan untuk disenarai sebagai calon bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, sekali gus memberi mereka tempoh lebih panjang untuk mendekati pengundi sebelum hari pengundian.
Ketua Cabang Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki Aksan berkata, pendekatan itu juga membolehkan prestasi setiap individu yang dicadangkan sebagai calon dipantau sepanjang tempoh lebih setahun sebelum PRU berlangsung.
Menurut beliau, mereka yang gagal menunjukkan prestasi atau tidak mampu melaksanakan tanggungjawab diberi boleh digantikan sebelum pilihan raya.
“Kalau dalam tempoh lebih setahun ini mereka tidak menunjukkan prestasi, gantikan. Kalau tidak mampu buat kerja, gantikan.
“Tetapi namakan mereka sebagai calon terlebih dahulu supaya mereka boleh turun padang, bekerja, mendapatkan kepercayaan rakyat dan mungkin mendapat sokongan daripada pihak yang mahu membantu,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Afdlin berkata, cadangan tersebut merupakan antara beberapa permintaan dan usul yang dikemukakan bagi memastikan calon berpotensi mempunyai masa mencukupi untuk membina hubungan dengan pengundi serta membuktikan keupayaan mereka sebelum PRU.
Katanya, proses pemilihan calon lebih awal juga memberi ruang kepada mereka untuk memahami dengan lebih mendalam isu yang dihadapi penduduk di kawasan masing-masing, selain memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa kepimpinan parti melantik penyelaras bagi semua kawasan di Wilayah Persekutuan yang masih belum mempunyai penyelaras.
Katanya, gerak kerja politik di kawasan berkenaan perlu dimulakan secepat mungkin bagi memastikan persiapan menghadapi PRU dapat dilakukan lebih awal.
“Bagi Wilayah Persekutuan, tolong lantik penyelaras untuk semua kawasan yang masih belum mempunyai penyelaras kerana kerja-kerja perlu dimulakan secepat mungkin.
“Untuk semua kawasan yang belum mempunyai penyelaras, tolonglah… kepimpinan parti perlu mempertimbangkan pelantikan penyelaras untuk kita,” katanya. - Getaran, 15 Ogos 2026






