Jangan tunggu pilihan raya baru cari calon wanita

LocalPolitics
14 Aug 2026 • 4:19 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jangan tunggu pilihan raya baru cari calon wanita

MELAKA: PKR digesa agar tidak menunggu pilihan raya untuk mencari calon wanita, sebaliknya perlu membina dan melatih mereka lebih awal sebagai pemimpin.

Ketua Wanita PKR Gombak, Ruhanah Masruki berkata, usaha mencapai sasaran 30 peratus calon wanita perlu bermula dengan mengenal pasti bakat, memberi latihan, pengalaman serta kepercayaan kepada mereka.

Beliau berkata, wanita sudah lama memainkan peranan di lapangan dengan menyantuni rakyat dan menggerakkan jentera parti. 

Bagaimanapun, beliau berkata, persoalan mengenai calon wanita yang sesuai dan layak pasti timbul setiap kali pilihan raya semakin hampir.

“Adakah kita benar-benar sedang membina pemimpin wanita atau kita hanya mencari calon wanita apabila pilihan raya semakin hampir?

“Wanita tidak meminta keistimewaan. Wanita hanya meminta peluang yang adil untuk membuktikan kemampuan.

“Jika kita benar-benar mahu 30 peratus menjadi kenyataan, jangan tunggu pilihan raya untuk cari calon wanita. Binalah wanita, percayalah kepada wanita dan apabila tiba masanya, berikan wanita peluang untuk memimpin,” katanya ketika berbahas pada Kongres Nasional Tahunan Wanita PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Ruhanah berkata, PKR sudah mempunyai platform pembangunan kepimpinan menerusi Sekolah Wanita Keadilan dan Akademi Kepimpinan Wanita (AKW).

Katanya, latihan semata-mata tidak mencukupi sekiranya mereka tidak diberikan pengalaman dan peluang untuk membuktikan kemampuan.

“Pemimpin bukan lahir kerana dipilih. Pemimpin lahir kerana dibina,” katanya.

Menurut beliau, pengalaman Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan juga menunjukkan bahawa memberi peluang kepada wanita untuk bertanding sahaja belum mencukupi.

Katanya, calon yang diketengahkan perlu benar-benar bersedia untuk memimpin serta mampu memahami isu, berhujah dan mempertahankan dasar parti.

“Jangan beri wanita ruang kerana simpati. Berikan ruang kerana mereka benar-benar layak.

“Kita tidak mahu sekadar berkata, ‘kita sudah ada calon wanita’. Sebaliknya kita mahu berkata, ‘kita telah membina calon wanita yang berkualiti’,” katanya.

Dalam pada itu, Ruhanah mencadangkan sasaran 30 peratus berkenaan disokong melalui pembangunan kepimpinan secara berterusan menerusi Agenda 2030 Wanita Keadilan.

Beliau berkata, matlamatnya bukan sahaja untuk menambah jumlah calon wanita, malah melahirkan lebih ramai wanita yang bersedia menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen dan pembuat dasar negara.

“30 peratus bukan titik penamat. 30 peratus adalah titik permulaan kerana 30 peratus membuka pintu, tetapi kualiti menentukan siapa yang layak melangkah masuk.

“Jangan hanya bertanya berapa ramai wanita yang kita ada, tetapi marilah kita bertanya berapa ramai pemimpin wanita yang sedang kita bina,” katanya. – UTUSAN

The post Jangan tunggu pilihan raya baru cari calon wanita appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved