
Bermula 1 Julai 2026, rakyat Malaysia sudah boleh membuat pengeluaran wang tunai secara percuma lebih 14,000 mesin ATM di seluruh negara, selepas pihak bank bersetuju untuk mengecualikan caj antara bank MEPS sebanyak RM1 baru-baru ini.
Bagaimanapun, ada pengguna yang melaporkan bahawa mereka masih tetap dikenakan caj RM1 tersebut walaupun transaksi dibuat selepas tarikh 1 Julai. Bagi anda yang mungkin belum tahu, sebenarnya tidak semua mesin ATM di Malaysia adalah sama. Ini perkara penting yang perlu anda tahu.
Pengecualian RM1 hanya untuk ATM milik bank sahaja

Pengumuman pemansuhan caj RM1 ini dibuat oleh Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), serta Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM), yang mewakili industri kewangan dan perbankan tanah air.
Dijalankan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), pengecualian caj RM1 ini hanya terpakai di lebih 14,000 mesin ATM seluruh negara yang dioperasikan secara rasmi oleh pihak bank. Ini merangkumi mesin ATM milik bank tempatan mahupun bank asing.
Menurut wakil industri, langkah ini mencerminkan komitmen mereka dalam menyediakan perkhidmatan kewangan yang mudah diakses, inklusif, dan mampu milik, selain mengakui bahawa wang tunai masih menjadi medium pembayaran yang penting bagi rakyat Malaysia.
Ini bermakna, jika anda pemegang kad Maybank, anda boleh menikmati pengeluaran percuma tanpa caj RM1 ini sekiranya mengeluarkan wang di mesin ATM milik CIMB, RHB, atau AmBank.
Sama juga situasinya jika anda pemegang kad CIMB, anda boleh mengeluarkan wang tanpa caj MEPS di mesin ATM kendalian Alliance Bank, HSBC, Hong Leong Bank, mahupun Public Bank.
Syarat utamanya mudah. Pastikan anda mengeluarkan wang di mesin ATM yang dikendalikan pihak bank.
ATM bukan milik bank masih dikenakan caj RM1

Untuk makluman anda, terdapat juga mesin ATM jenis lain yang bukan milik mana-mana bank di negara ini. Walaupun mesin-mesin ini ada memaparkan logo MEPS atau logo bank-bank tertentu pada skrin, ia sebenarnya tidak termasuk dalam inisiatif pengecualian caj RM1 yang diumumkan oleh ABM, AIBIM, dan ADFIM.
Mesin ATM pihak ketiga atau dikenali sebagai white label ATM ini termasuklah rangkaian seperti Euronet, Safeguards, dan Reachful. Anda biasanya boleh menemui mesin jenis ini di kedai serbaneka, stesen minyak, pasar raya, dan kawasan tumpuan pelancong.

Hasil tinjauan kami pada mesin ATM Euronet di sebuah kedai 7-Eleven pagi tadi mendapati bahawa skrin paparan mesin tersebut memang menyatakan dengan jelas bahawa caj ATM MEPS sebanyak RM1 masih lagi dikenakan.
Jadi, sekiranya anda merancang untuk mengeluarkan wang tunai tanpa sebarang caj tambahan, pastikan anda menggunakan mesin ATM milik bank. Kebiasaannya, mesin ATM yang betul akan dijenamakan dengan sangat jelas menggunakan satu logo bank utama bersama-sama dengan logo MEPS.





