Pengecualian caj RM1 pengeluaran tunai ATM antara bank berkuat kuasa

Business & Finance
3 Jul 2026 • 10:42 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pengecualian caj RM1 pengeluaran tunai ATM antara bank berkuat kuasa
Pengecualian caj RM1 bagi pengeluaran tunai ATM antara bank sebagai sebahagian usaha meringankan kos sara hidup di samping meningkatkan akses serta kemudahan perkhidmatan perbankan harian untuk rakyat Malaysia. Gambar hiasan

PENGECUALIAN caj RM1 bagi pengeluaran tunai ATM antara bank berkuat kuasa dengan lancar mulai 1 Julai 2026, sebagai sebahagian daripada usaha industri perbankan meringankan kos sara hidup di samping meningkatkan akses serta kemudahan perkhidmatan perbankan harian untuk rakyat Malaysia

Dalam kenyataan bersama hari ini, Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) serta Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) memaklumkan inisiatif itu menghapuskan caj RM1 yang sebelum ini dikenakan apabila pelanggan mengeluarkan wang tunai melalui ATM yang dikendalikan oleh bank selain bank mereka sendiri.

"Bagi mengelakkan kekeliruan, pengecualian caj ini terpakai kepada ATM yang dikendalikan oleh bank di seluruh negara. Caj standard masih boleh dikenakan bagi penggunaan ATM bukan milik bank," menurut persatuan berkenaan.

Langkah itu, menurut mereka, mencerminkan aspirasi lebih luas untuk membina sistem kewangan yang lebih inklusif dan mudah diakses dengan mengutamakan keperluan harian rakyat.

"Industri perbankan menerusi ABM, AIBIM dan ADFIM bekerjasama rapat dengan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) bagi memastikan inisiatif ini dilaksanakan dengan lancar serta manfaatnya dapat dinikmati rakyat dengan segera," menurut kenyataan itu.

Persatuan berkenaan memaklumkan pelanggan boleh merujuk saluran komunikasi rasmi bank masing-masing, termasuk laman sesawang, aplikasi perbankan mudah alih dan pusat khidmat pelanggan, untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pelaksanaan pengecualian caj RM1 bagi pengeluaran tunai ATM antara bank itu. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved