
PERDEBATAN mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 terperangkap pada soal suara mahasiswa, sedangkan taruhan sebenarnya ialah autonomi institusi.
Menyokong pembaharuan tidak bermakna kita harus menerima ketergesaan. Sebuah akta perlu dibahaskan atas alasannya sebenar, dengan waktunya yang betul dan mencukupi.
Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kongres Nasional PKR 2026 bahawa kerajaan akan memansuhkan AUKU disambut sebagai satu detik penting.
Bagi mereka yang sudah lama memperjuangkan pembaharuan pendidikan tinggi, pastinya pengumuman itu dilihatkan sebagai tunai janji tertangguh. Hasrat memperbaharui itu wajar dihargai.
Saya sendiri dalam kalangan yang menyokong penambahbaikan AUKU.
Namun sokongan terhadap pembaharuan tidak seharusnya membutakan kita daripada bertanya soalan yang lebih halus iaitu adakah alasan yang dikemukakan setimpal dengan tindakan yang diambil? Kerana dalam wacana semasa, dua perkara yang berbeza sering dicampuradukkan iaitu antara kebebasan bersuara mahasiswa serta ahli akademik dan autonomi institusi universiti di pihak yang lain.
Kedua-duanya penting tetapi bukan perkara sama dan kekeliruan antara keduanya boleh membawa kita membuat keputusan besar atas sebab yang kecil.
SOAL KEBEBASAN SEBAHAGIAN BESARNYA SUDAH DITANGANI
Kebimbangan tentang kebebasan bersuara mahasiswa nyata dan sah tetapi harus diakui secara jujur terdapat perkara yang telah pun ditangani secara berperingkat.
Pindaan 2012 membuka ruang penglibatan politik di luar kampus. Pindaan berikutnya membenarkan kegiatan politik dalam kampus. Pindaan terbaharu pada 2024 memindahkan kuasa tindakan tatatertib pelajar daripada Naib Canselor kepada sebuah jawatankuasa dan membenarkan badan pelajar mengumpul serta menguruskan dana sendiri.
Ertinya, sekiranya baki rasa tidak puas hati mahasiswa berkisar pada ruang bersuara dan berpersatuan, ia boleh dan sepatutnya diselesaikan menerusi penambahbaikan lanjut yang lebih tegas.
Soal kebebasan tidak dengan sendirinya menuntut pembongkaran keseluruhan sebuah akta induk, sebaliknya boleh dicapai dengan pisau bedah serta tidak memerlukan tukul struktur.
NISBAH YANG TIDAK SEIMBANG
Di sinilah letaknya persoalan yang lebih pokok. Memansuhkan AUKU bukan sekadar reformasi kebebasan tetapi pembinaan semula asas tadbir urus setiap universiti awam di negara ini.
AUKU bukan hanya Seksyen 15 yang menjadi tumpuan media. Akta induk ini menentukan bagaimana sesebuah universiti ditubuhkan, siapa melantik Lembaga Pengarah dan Naib Canselornya, bagaimana menjana pendapatan dan atas syarat apa menerima pelajar.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, beberapa bulan lalu, mengakui betapa besarnya implikasi ini apabila menjelaskan pemansuhan AUKU akan memaksa penggubalan perlembagaan baharu bagi setiap universiti awam. Proses ini akan memakan masa dan berpotensi mengganggu operasi institusi.
Pengakuan itu, secara tidak langsung, mengesahkan hakikat yang sering terlepas pandang iaitu isi sebenar AUKU ialah seni bina kuasa dan tadbir urus, bukan semata-mata hal ehwal mahasiswa.
Beliau amat jelas, tepat dan tegas dalam pendirian tersebut.
Maka menarik tuas sebesar itu dengan implikasi yang begitu meluas semata-mata untuk menjawab soal kebebasan bersuara adalah satu nisbah yang tidak seimbang. Ia mencetuskan kesan yang amat besar atas alasan yang sebenarnya tidak memerlukannya.
KELAJUAN DAN GODAAN KEPERCAYAAN
Ada satu lagi kebimbangan yang lebih halus. Tidak sampai enam bulan sebelum pengumuman ini, pendirian rasmi masih menyatakan penambahbaikan lebih realistik daripada pemansuhan.
Dalam tempoh yang singkat itu, pendirian berubah sama sekali bukan kerana muncul rasional dasar yang baharu tetapi dilihat seiring dengan motif momentum politik.
Rakyat berhak bertanya sama ada ini pembaharuan yang dirancang dengan teliti atau keputusan yang dipacu oleh keperluan memulihkan kepercayaan terhadap reformasi yang hangat dibicarakan di konvensyen dua parti besar kerajaan.
Dan di sinilah paradoksnya. Kepercayaan tidak boleh dikejar secara langsung, ia sebaliknya hanya diperoleh sebagai hasil daripada istiqamah.
Reformasi yang dilakukan secara tergesa-gesa semata-mata untuk meraih kepercayaan akhirnya boleh menghakis kepercayaan itu sendiri.
Masyarakat hari ini semakin matang menilai, lalu mampu membezakan antara iltizam yang benar-benar lahir daripada kesungguhan dengan percaturan yang sekadar mengikut musim. Dalam soal sepenting ini, terlalu mengejar kelajuan boleh menyebabkan kita tersasar daripada matlamat yang mahu dicapai.
Perlu dibezakan antara ketegasan dan ketergesaan. Ketegasan ialah mengisytiharkan komitmen lalu menunaikannya dengan betul manakala ketergesaan ialah mengumumkan sesuatu untuk menangkap momen sebelum kerangkanya benar-benar wujud.
Ukuran sebuah reformasi bukan pada tarikh pengumumannya tetapi pada mutu akta yang menggantikannya.

perlu disusuli kerangka baharu yang menjamin autonomi serta tadbir urus universiti awam.
UJIAN SEBENAR IALAH PENGGANTI, BUKAN PEMANSUHAN
Justeru, perhatian kita seharusnya tertumpu bukan pada perkataan ‘mansuh’ tetapi pada kerangka yang akan menggantikannya.
Jika akta gantian digubal secara tergesa untuk memenuhi kitaran politik, maka soalan yang paling menentukan ialah siapa yang akan berkuasa melantik Lembaga dan Naib Canselor, sejauh mana campur tangan eksekutif dibenarkan.
Menjadi harapan yang sangat besar supaya soalan ini dijawab secara mendalam, bukan sambil lewa.
Kita mungkin membatalkan sebuah nama, sedangkan seni bina kawalannya dibina semula dalam bentuk yang baharu. Membatalkan akta bukan jaminan membongkar struktur.
Harus diakui pula ada pandangan balas munasabah bahawa akta yang terpaksa dipinda berulang kali sejak 1971 itu sendiri membuktikan ia dibina atas ‘premis’ yang salah dan jalan yang benar ialah menggantikannya sepenuhnya, bukan terus menampalnya.
Hujah ini ada kekuatannya tetapi kerana menyentuh ‘premis’ yang sedalam itu, ia menuntut kesabaran dan kedalaman bukan kesegeraan. Sebab yang besar memerlukan pertimbangan yang besar.
PERBAIKI DENGAN TEGAS, MANSUH DENGAN SABAR
Maka pendirian ini boleh diringkaskan begini. Jaminlah kebebasan bersuara mahasiswa dan ahli akademik sekarang, secara tegas, menerusi penambahbaikan yang jelas dan segera. Itu boleh dan wajar dilakukan tanpa berlengah. Tetapi janganlah tergesa memansuhkan dan menggantikan sebuah akta induk semata-mata atas kekuatan hujah kebebasan. Ini kerana taruhan sebuah akta induk itu bersifat peradaban dan layak dibahaskan atas alasannya yang sebenar, iaitu autonomi institusi serta teras keilmuan universiti.
Institusi ilmu bergerak pada waktu peradaban, generasi, pembentukan insan, pembangunan umran yang perlahan. Ia tidak boleh dipandu sepenuhnya oleh jam politik.
Sekiranya AUKU benar-benar hendak dimansuhkan, biarlah atas sebab yang jauh lebih mendalam daripada kebebasan bersuara, disertai garis masa yang telus, draf yang dibuka untuk maklum balas awam dan libat urus yang sebenar bersama mahasiswa, warga akademik dan masyarakat sivil.
Ibn Khaldun sudah lama mengingatkan apabila ilmu tunduk sepenuhnya kepada kuasa, bukan ilmu sahaja yang merosot tetapi umran itu sendiri. Kepercayaan ialah amanah dan ia tidak boleh dipercepat, sebalinyahanya boleh ditunaikan.
Tragedi yang paling wajar kita elakkan ialah mencetuskan implikasi yang besar demi alasan yang kecil lalu melakukannya secara tergesa.
Kita menyokong pembaharuan. Justeru kerana itulah kita mahu ia dilakukan dengan betul.-UTUSAN
PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah Pensyarah Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Pengerusi Teras Politik, Musyawarah Nasional.
The post Kenapa terburu-buru mansuh AUKU? appeared first on Utusan Malaysia.






