
KLANG – Kerajaan kekal dengan pendirian untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) baharu tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kebebasan perlu diberikan kepada mahasiswa dan bukannya menerima kongkongan daripada undang-undang.
Menurutnya, mahasiswa perlu dianggap sebagai golongan dewasa yang wajar diberi ruang untuk berfikir, bersuara dan melakukan perbezaan pandangan.
“Didiklah, tegurlah. Tak ada undang-undang? Ada undang-undang jenayah pakai lah. Mengapa nak ditambah undang-undang untuk anak-anak mahasiswa?.
“Batalkan keseluruhan AUKU. Saya masih percaya tahun ini kita akan bentang rang undang-undang baharu dan luluskannya,” katanya ketika berucap pada sesi temu Anwar dan majlis perasmian Himpunan Anak Muda Kebangsaan (Hamka) Antarabangsa di sini, petang ini.
Tegas Anwar, mahasiswa perlu diberi ruang mengemukakan pandangan tanpa budaya takut terhadap pihak universiti atau kerajaan.
“Mereka juga boleh tidak bersetuju dengan sesuatu perkara namun perbezaan pandangan perlu disampaikan secara sopan dan beradab. Sebab itu ada ikhtilaf dalam Islam, ada pendapat, tapi ada (adab),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post AUKU kekal mansuh, RUU baharu dibentang tahun ini appeared first on Kosmo Digital.






