Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) diperkenalkan pada 1971 ketika kerajaan berdepan kebangkitan suara mahasiswa, termasuk dirinya yang lantang memperjuangkan isu kemiskinan dan rasuah.
AUKU perlu difahami mengikut konteks zaman
Memetik laporan daripada Malaysia Gazette, sejarah AUKU perlu difahami berdasarkan konteks zamannya, termasuk bagaimana undang-undang itu digunakan untuk mengawal gerakan mahasiswa yang semakin berani menyuarakan isu rakyat.
“Kalau sudah tahu sejarahnya, Akta Universiti diperkenalkan untuk kawal Anwar Ibrahim. Sebab lepas itu banyak kita tunjuk perasaan soal kemiskinan, soal rasuah maka dikawal dengan Akta Universiti,” katanya ketika berucap merasmikan Himpunan Anam Muda Kebangsaan (HAMKA) Antarabangsa 2026.
“Si Anwar itu sudah jadi Perdana Menteri”
Menurut Anwar, keadaan itu sepatutnya menjadi asas kepada kerajaan hari ini untuk melakukan perubahan terhadap undang-undang berkaitan mahasiswa, terutama apabila golongan muda berusia 18 tahun ke atas sudah dianggap dewasa dan mampu membentuk pemikiran sendiri.
“Sekarang si Anwar itu sudah jadi Perdana Menteri, tukarlah undang-undang. Nak tukar sedikit-sedikit, ubah suai. Saya tak setuju.
“Bagi mereka, anak-anak kebanyakan umur 18 tahun sudah dewasa, matang. Tak akan melakukan kesilapan? Memang akan melakukan kesilapan. Didiklah, tegurlah.
“Tak ada undang-undang pun, ada undang-undang, undang-undang yang ada pakailah. Mengapa nak ditambah undang-undang untuk anak-anak mahasiswa?” soalnya.

Jangan ganggu dan beri ruang kepada mahasiswa
Anwar menambah, AUKU perlu dibatalkan secara menyeluruh, manakala perkara berkaitan pengurusan universiti seperti kuasa senat, lembaga pengajian dan struktur pentadbiran boleh dikawal melalui peruntukan khusus.
“Saya kata, saya nak tengok akta itu. Pertamanya batalkan keseluruhannya. Kalau ada keperluan akta pengurusan universiti, kuasa senat, kuasa* board of studies*, itu soal lain.
“Tapi jangan ganggu dan beri ruang kepada mahasiswa,” tegasnya.

Beliau turut memberi jaminan kerajaan akan membawa pindaan atau rang undang-undang berkaitan perkara itu ke Parlimen tahun ini.
“Saya masih percaya dan Insya-Allah tahun ini juga kita akan bentangkan rang undang-undang itu dan luluskan di Parlimen,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar mengingatkan anak muda supaya tidak terperangkap dalam perdebatan yang hanya berasaskan sentimen, kebencian dan kepentingan kelompok.
“Saya tidak mahu anak-anak takut untuk bertanya. Tanya dengan sopan, beradab. Setuju? Tak setuju pun mungkin ada sebab,” katanya.

Beliau berkata, universiti sepatutnya menjadi ruang untuk mahasiswa membina pemikiran, menguji hujah dan belajar daripada kesilapan, bukannya institusi yang menanam ketakutan dalam kalangan anak muda.
Sumber: Malaysia Gazette (Nizam Zain)






