Kenderaan perdagangan guna lorong kanan berterusan tingkat risiko kemalangan

LocalCars
15 Sep 2026 • 5:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kenderaan perdagangan guna lorong kanan berterusan tingkat risiko kemalangan
Ahmad Kamarunzaman

SHAH ALAM - Kenderaan perdagangan yang dipandu secara berterusan di lorong kanan meningkatkan risiko kemalangan selain mengganggu kelancaran aliran trafik.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, kenderaan berat sepatutnya menggunakan lorong kiri dan hanya berada di lorong tengah bagi tujuan memotong kenderaan lain.

"Biasanya alasan yang diberikan adalah mereka mahu bergerak dengan cepat atau laju, tetapi sebenarnya kenderaan berat bukanlah bergerak laju.

"Jika berada di lorong kanan, ia akan menyebabkan trafik semakin perlahan dan kesesakan kerana pergerakan kenderaan berat adalah lebih perlahan.

"Sepatutnya kenderaan berat berada di lorong paling kiri dan jika mahu memotong, gunakan lorong tengah," katanya dalam sidang akhbar Ops Kenderaan Perdagangan, di sini Hentian Rehat dan Rawat Rawang arah utara di sini pada Selasa.

Menurutnya, penggunaan lorong kanan secara berterusan oleh kenderaan perdagangan turut meningkatkan risiko kemalangan kerana lorong tersebut lazimnya digunakan bagi kenderaan yang bergerak lebih laju.

"Apabila kenderaan berat berada di lorong kanan, kelajuan kenderaan lain akan terganggu dan aliran trafik juga terjejas.

"Kenderaan berat sebenarnya tidak sepatutnya berada di lorong kanan, jika mahu memotong, gunakan lorong tengah kerana kenderaan berat sepatutnya berada di sebelah kiri, jika kenderaan berat berada di lorong kanan secara berterusan, itu merupakan satu kesalahan," katanya.

Ahmad Kamarunzaman berkata, JPJ Selangor turut menggunakan kenderaan tanpa logo dalam operasi berkenaan bagi mengesan kenderaan perdagangan yang melakukan kesalahan tersebut.

"Memang dalam operasi hari ini, kita menjalankan penguatkuasaan secara penyamaran dengan menggunakan kenderaan tanpa logo untuk melihat kenderaan perdagangan yang menggunakan lorong kanan secara berterusan.

"Jika menggunakan kenderaan berlogo, mungkin pemandu tidak akan berada di lorong kanan secara berterusan, dengan menggunakan kenderaan tanpa logo, kita dapat mengesan kesalahan tersebut.

"Operasi sebegini juga akan dilaksanakan secara berterusan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius kesalahan membabitkan kenderaan perdagangan yang menggunakan lorong paling kanan secara berterusan.

"Kesalahan ini boleh menghalang pergerakan kenderaan lain untuk memotong dengan selamat, selain berpotensi menyebabkan brek mengejut dan pertukaran lorong secara berisiko.

"Keadaan ini juga boleh mengganggu kelancaran aliran trafik dan akhirnya meningkatkan risiko berlakunya kemalangan," katanya.

Katanya, sehingga 31 Ogos lalu, pihaknya telah memeriksa sebanyak 427,938 kenderaan perdagangan di seluruh Selangor, dengan 18,726 kenderaan diambil tindakan.

"Penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan secara berterusan, tegas dan bersasar terhadap kenderaan perdagangan bagi memastikan tahap pematuhan yang tinggi dalam kalangan pengendali dan pemandu.

"Dalam masa sama, semua pemandu dan pengendali kenderaan perdagangan diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya serta mengutamakan aspek keselamatan ketika berada di jalan raya," katanya.

Beliau berkata, orang ramai turut boleh menyalurkan aduan berkaitan kesalahan lalu lintas membabitkan kenderaan perdagangan secara terus atau masa nyata menerusi aplikasi MyJPJ melalui saluran e-Aduan@JPJ atau e-mel aduantrafik@jpj.gov.my.

"Orang ramai diseru supaya menyertakan maklumat dan butiran lengkap bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved