GEORGE TOWN – [DIKEMAS KINI] Kenyataan Penasihat Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng yang melabel UMNO sebagai tidak boleh dipercayai disifatkan sebagai hipokrit dan mencerminkan keangkuhan politik yang semakin menebal.
Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Mohd Hilmi Elias berkata, individu yang rekod kepimpinannya dipersoalkan serta sedang berdepan pertuduhan mahkamah tidak mempunyai autoriti moral untuk bercakap soal kepercayaan.
Menurutnya, isu tersebut bukan sekadar perbezaan politik, sebaliknya melibatkan kredibiliti peribadi yang menurutnya telah lama tercalar di mata rakyat.
“Lim Guan Eng seharusnya menjawab terlebih dahulu persoalan lama yang masih menghantui pentadbirannya di Pulau Pinang, termasuk berkaitan ketelusan urus tadbir.
"Rakyat belum lupa rekod kepimpinannya yang penuh pertikaian, sikap angkuh apabila dikritik dan kegemaran menyalahkan orang lain setiap kali tertekan.
“Jangan cuba mengalih perhatian dengan menyerang pihak lain sedangkan kelemahan sendiri belum diperbetulkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mohd. Hilmi menambah, Guan Eng terus memainkan naratif lama bagi menutup kelemahan sendiri selain menyifatkan gaya kepimpinan Ahli Parlimen Bagan itu sebagai angkuh dan defensif apabila berdepan kritikan.
Katanya lagi, kepercayaan rakyat tidak dibina melalui retorik atau serangan politik, sebaliknya melalui rekod perkhidmatan, keikhlasan dan keupayaan memimpin dengan penuh tanggungjawab.
"Guan Eng perlu menilai diri sendiri sekiranya benar-benar mahu membicarakan soal kepercayaan.
“Rakyat hari ini lebih matang dan tidak mudah diperdaya dengan sandiwara politik yang berulang. Perbaiki dahulu kepimpinan sendiri sebelum bercakap tentang kepercayaan,” katanya.
Sebelum ini, Guan Eng menyifatkan UMNO dan Barisan Nasional sebagai rakan kerjasama yang tidak boleh dipercayai dalam Kerajaan Perpaduan serta menggesa rakyat untuk menolak mereka pada pilihan raya akan datang.
Merujuk percubaan UMNO Negeri Sembilan baru-baru ini untuk menggulingkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, Guan Eng berkata bahawa ia membuktikan gabungan tersebut sanggup mengetepikan kepentingan nasional demi manfaat politik peribadi.






