Tiga beranak ditemui mati: Zikri disifatkan suka berkawan, sering berjemaah di masjid

26 Mar 2026 • 4:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Hashim menunjukkan gambar Zikri bersama arwah isterinya semasa ditemui di lokasi kejadian pada Khamis.

SUNGAI PETANI - Seorang mangsa tragedi tiga beranak yang ditemui maut di Kampung Belau di Merbok dikenali sebagai individu yang sering menghadiri solat berjemaah di Masjid Al-Atiq di sini.

Zikri Abdul Rahman, 65, juga disifatkan sebagai seorang yang suka berkawan dan mudah bergaul dengan penduduk setempat.

Menurut rakannya, Hashim Abdul Aziz, 66, kali terakhir dia bertemu dengan mangsa di masjid berkenaan pada Ahad lalu.

"Kami selalu jumpa di masjid. Kadang-kadang selalu kami minum di hadapan rumahnya. Dia memang seorang yang suka berjemaah dan mudah bergaul,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Hashim berkata, mereka sepatutnya menghadiri kenduri rakan di Jeniang pada Khamis dan telah merancang untuk berkumpul di rumahnya sebelum bergerak bersama.

Bagaimanapun menurutnya, kejadian tragis yang menimpa pasangan suami isteri itu bukan sahaja mengejutkan dia, malah rakan-rakan yang lain.

“Sepatutnya kami pergi kenduri hari ini, tapi semuanya bertukar tragedi. Bila jadi macam ini, kami semua jadi tidak seronok dan batalkan hasrat untuk pergi.

"Arwah hanya bekerja menoreh getah manakala arwah isterinya bekerja sebagai tukang cuci di sebuah sekolah," ceritanya.

Gagal dihubungi

Tambahnya, kehilangan mangsa mula disedari apabila gagal dihubungi selama beberapa hari.

Menurutnya, cubaan ahli keluarganya untuk menghubungi mangsa juga gagal.

“Pada mulanya keluarganya cuba telefon mangsa, tetapi tidak berjawab. Kami kemudian berkumpul di rumah adiknya untuk berbincang sebelum membuat laporan polis sekitar jam 12 tengah malam pada Rabu,” katanya.

Dia berkata, bau busuk yang dihidu dari rumah mangsa akhirnya membawa kepada penemuan mengejutkan itu.

Terdahulu, media melaporkan tiga beranak ditemui maut dalam sebuah rumah di Kampung Belau pada awal pagi Khamis.

Mangsa dikenal pasti sebagai Zikri dan Suraya Man, 53, serta anak lelaki mereka, Muhammad Shakir Zufayri Abdul Aziz, 29.

Hasil pemeriksaan mendapati kepala pasangan suami isteri itu terpisah daripada badan, manakala anggota badan mangsa wanita dipercayai dipotong untuk dilupuskan.

Mayat anak mereka pula ditemui di tingkat atas rumah dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kelar pada leher.