
PETALING JAYA: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026 edisi ke-10 tampil dengan pendekatan lebih menyeluruh apabila menghimpunkan ekosistem pelaburan, teknologi, industri dan pembangunan bakat dalam satu platform bagi memenuhi keperluan pelabur yang semakin kompleks.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, sepanjang 10 tahun penganjuran SIBS menunjukkan pelabur kini bukan sekadar melihat peluang pelaburan, sebaliknya turut menilai ketersediaan tanah industri, insentif kerajaan, sokongan teknikal, penggunaan teknologi serta akses kepada tenaga kerja berkemahiran.
“Sehubungan itu, SIBS 2026 memperkukuh platform berkenaan menerusi tujuh komponen utama termasuk Selangor ASEAN Business Conference (SABC), Selangor Investment and Industrial Park Expo (SPARK), Selangor AI and Semiconductor Summit (AiSEM@Selangor) dan Selangor International Care Expo (SICE).
“Tiga komponen baharu turut diperkenalkan iaitu Selangor Investment Forum (SIF), Selangor Techsphere Summit (STS) dan Selangor Career Outreach Talent Expo (SCOUT), masing-masing memberi tumpuan kepada peluang pelaburan, teknologi serta pembangunan bakat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, pendekatan itu membolehkan SIBS bergerak daripada sekadar platform pameran kepada ekosistem yang menghubungkan pelabur dengan peluang industri, teknologi, bakat dan sokongan kerajaan.
“Penambahan ini penting kerana kita tidak mahu SIBS hanya bercakap mengenai pelaburan secara umum. Kita mahu membawa masuk perbincangan mengenai industri masa depan seperti AI, semikonduktor, teknologi, bakat teknikal dan ekonomi penjagaan,” katanya.
Dalam pada itu, jelasnya, eNOL Industrial Clinic turut diperkenalkan bagi membantu syarikat yang telah menerima No Objection Letter (NOL) antara 2020 hingga 2026 menyelesaikan isu berkaitan pelaksanaan projek.
“Klinik yang berlangsung di Booth SW5 dalam pameran SPARK itu melibatkan lima sesi khusus bersama agensi berkaitan termasuk UPEN Selangor, Pejabat Tanah dan Galian, PLANMalaysia, Jabatan Alam Sekitar, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran serta pihak berkuasa tempatan.
“Langkah itu bertujuan membantu pelabur mendapatkan penjelasan secara terus berhubung perkara seperti penukaran status tanah, penilaian alam sekitar, kelulusan pembangunan dan keperluan teknikal.Pelaburan hanya benar-benar memberi impak apabila projek mula dibangunkan, kilang mula beroperasi dan peluang pekerjaan dapat diwujudkan.
“Jadi, eNOL Industrial Clinic mencerminkan pendekatan kita untuk memastikan pelabur terus mendapat sokongan bukan hanya ketika membuat keputusan untuk melabur, tetapi sehingga pelaburan itu menjadi realiti,” katanya.
SIBS 2026 yang memasuki edisi ke-10 bertemakan ‘Selangor, Gateway to ASEAN’, sekali gus memperkukuh aspirasi negeri untuk menjadi gerbang pelaburan dan perniagaan ke pasaran serantau.
Sementara itu, Sze Han berkata, Selangor tidak lagi mahu hanya bergantung kepada kemasukan pelabur asing, sebaliknya mengambil pendekatan lebih agresif dengan membawa syarikat tempatan meneroka pasaran ASEAN menerusi inisiatif SIBS@ASEAN.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan hubungan ekonomi yang dibina menerusi Selangor International Business Summit (SIBS) bukan bersifat satu hala, iaitu sekadar menarik pelaburan masuk, tetapi turut membantu syarikat Selangor berkembang ke luar negara.
“Edisi pertama SIBS@ASEAN di Bandung, Indonesia, menunjukkan terdapat ruang besar untuk kerjasama antara syarikat Selangor dengan pemain industri di negara serantau. Kita bukan hanya menunggu orang datang ke Selangor, tetapi kita juga membawa syarikat Selangor ke pasaran ASEAN.
“Matlamat kita adalah supaya Selangor bukan sahaja dikenali sebagai destinasi pelaburan, tetapi sebagai rakan bagi syarikat-syarikat untuk berkembang ke pasaran ASEAN,” katanya. – UTUSAN
The post SIBS 2026 tampil ekosistem pelaburan lebih menyeluruh appeared first on Utusan Malaysia.






