Keperluan elektrik pusat data melonjak, 60 projek baharu perlukan 11,172MW - Parlimen diberitahu

LocalBusiness & Finance
15 Oct 2026 • 2:14 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Keperluan elektrik pusat data melonjak, 60 projek baharu perlukan 11,172MW - Parlimen diberitahu Image from: Keperluan elektrik pusat data melonjak, 60 projek baharu perlukan 11,172MW - Parlimen diberitahu sarah15/10/2026 - 14:14 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Okt - Sebanyak 60 projek pusat data baharu yang sedang dirancang di Malaysia dijangka memerlukan tambahan bekalan elektrik sebanyak 11,172 megawatt (MW), sekali gus meningkatkan tekanan terhadap keperluan tenaga negara ketika pelaburan dalam sektor itu terus berkembang pesat.

 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ketika ini sebanyak 57 pusat data menggunakan bekalan elektrik berjumlah 6,237MW yang disalurkan oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB).

 

Beliau berkata, kerajaan sedang memastikan pembangunan pusat data tidak membebankan sumber negara, termasuk menetapkan kos elektrik berdasarkan harga pasaran serta memastikan pelabur menanggung kos menaik taraf infrastruktur penghantaran elektrik yang diperlukan.

 

"Kerajaan mahu memastikan pembangunan pusat data memberi manfaat kepada ekonomi negara tanpa membebankan sumber tenaga dan air sedia ada," katanya ketika menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) di Dewan Rakyat hari ini.

 

Dalam pada itu, Johari berkata, kerajaan turut menetapkan sasaran minimum 30% kandungan tempatan bagi pembangunan pusat data baharu bagi memastikan syarikat Malaysia mendapat manfaat lebih besar daripada kemasukan pelaburan asing.

 

Menurutnya, keperluan yang dipersetujui Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF) itu bertujuan mengintegrasikan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan pelabur asing, mewujudkan peluang pekerjaan dan mengurangkan kebergantungan terhadap produk import.

 

"Langkah ini akan mewujudkan peluang pekerjaan, membina keupayaan syarikat tempatan untuk bersaing di peringkat global dan mengurangkan kebergantungan kepada produk import, khususnya pelayan komputer, sistem integrasi, sistem penyejukan dan sistem elektrik," katanya.

 

Beliau menjelaskan, penyertaan syarikat tempatan perlu bermula sejak peringkat pembangunan projek, termasuk penggunaan khidmat perunding, kontraktor serta penyedia perkhidmatan pembinaan, kejuruteraan dan logistik tempatan.

 

"Penggunaan perunding tempatan adalah antara syarat yang ditetapkan dan kita tidak membenarkan mereka menggunakan perunding asing," katanya.

 

Selain itu, kerajaan mahu syarikat tempatan dan universiti diberikan akses kepada kapasiti pengkomputeran pusat data bagi menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), sekali gus membolehkan rakyat Malaysia membangunkan kepakaran dalam teknologi berkenaan.

 

Menyentuh penggunaan air, Johari berkata, kerajaan negeri perlu menilai rizab bekalan air masing-masing dengan teliti sebelum meluluskan permohonan pusat data, manakala pengendali turut diwajibkan menggunakan teknologi kitar semula air.

 

Beliau berkata, sumbangan sektor pusat data kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dianggarkan meningkat daripada RM900 juta pada 2021 kepada RM14.1 bilion pada 2025, mencerminkan pertumbuhan aktiviti ekonomi melibatkan pembinaan, operasi dan perbelanjaan utiliti. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved