Spekulasi Kontrak Tak Disambung: ‘No Comment’ - Azam

LocalPolitics
2 Apr 2026 • 5:10 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, enggan mengulas laporan yang menyatakan bahawa kontrak perkhidmatannya berkemungkinan tidak akan diperbaharui.

Ketika ini, perhatian semakin tertumpu terhadap siasatan berterusan agensi itu berhubung skandal kewangan 1MDB.

No Comment.

“Saya telah menyatakan sebelum ini bahawa saya tidak akan memberikan sebarang maklum balas berhubung perkara tersebut,” katanya ringkas.

Beliau menyatakan demi ketika ditemui selepas menghadiri sesi libat urus Pasukan Petugas Pelbagai Agensi di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

Spekulasi mengenai tempoh perkhidmatan Azam timbul susulan laporan media antarabangsa bahawa kontraknya yang dijadualkan tamat pada 12 Mei, mungkin tidak akan disambung, berikutan dakwaan salah laku.

Terdahulu, tempoh perkhidmatan beliau sebelum ini telah dilanjutkan sebanyak tiga kali.

Dalam perkembangan berasingan, Azam mengesahkan bahawa SPRM telah mengumpulkan bukti  mencukupi untuk meneruskan pertuduhan terhadap firma guaman White & Case.

Firma terbabit didakwa mempunyai kaitan dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Firma berkenaan sebelum ini mewakili PetroSaudi International dalam usaha sama kontroversi yang telah menarik perhatian masyarakat antarabangsa.

Beliau berkata, siasatan telah menemui beberapa unsur salah laku, termasuk pemalsuan dokumen serta arahan pembayaran yang mengelirukan.

Ia menyebabkan dana berkaitan 1MDB disalurkan kepada pihak yang tidak diberi kuasa.

“Siasatan turut meneliti pembayaran dibuat kepada firma berkenaan, dipercayai melibatkan dana yang secara langsung berkaitan dengan penyelewengan aset 1MDB.

“Siasatan dijalankan di bawah peruntukan undang-undang berkaitan, termasuk Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA),” katanya.

SPRM jelas Azam lagi, turut bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa antarabangsa, termasuk melalui mekanisme bantuan perundangan bersama dengan United Kingdom, bagi memperkukuh kes tersebut.

“SPRM juga akan berkongsi dapatan siasatan dengan pihak berkuasa berkaitan bagi menyokong tindakan penguatkuasaan lanjut dalam bidang kuasa masing-masing,” tambahnya. - Getaran, 2 April 2026