Keputusan Azizulhasni ke Olimpik selepas Sukan Asia

20 Aug 2026 • 7:35 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Keputusan Azizulhasni ke Olimpik selepas Sukan Asia

SHAH ALAM: Penantian Datuk Azizulhasni Awang mengenai kesinambungan misinya ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) semakin menampakkan sinar apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi bayangan keputusan berhubung masa depan jaguh berbasikal trek negara itu menuju ke arah positif.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, perbincangan antara KBS, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Azizulhasni kini berlangsung secara intensif bagi memastikan hala tuju pelumba berusia 38 tahun itu dapat dirancang dengan sebaiknya.

“Perbincangan itu sangat-sangat positif dan kita mengarah ke keputusan yang sangat positif yang boleh dicapai antara pihak KBS dan juga Datuk Azizulhasni sendiri.

“Sangat positif dan sebarang keputusan rasmi dan keputusan muktamad kita akan umumkan mungkin selepas Sukan Asia (Aichi-Nagoya 2026),” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pertandingan wushu pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata kerajaan menerusi KBS dan MSN bersedia memberikan sokongan penuh kepada Azizulhasni, malah namanya sudah dimasukkan dalam perancangan Olympic Pathway yang dibentangkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) sehingga LA 2028.

Jefri berkata penangguhan pengumuman rasmi itu dibuat atas permintaan Azizulhasni sendiri yang mahu menyelesaikan misi di Sukan Asia Aichi-Nagoya terlebih dahulu.

“Memang jelas pihak MSN dan KBS menyokong sepenuhnya Olympic Pathway yang dibentangkan kepada kami oleh barisan jurulatih, termasuk kem latihan, kejohanan yang akan disertai dan bantuan yang diperlukan untuk membolehkan mereka mengutip mata kelayakan untuk Malaysia ke Sukan Olimpik,” katanya.

Terdahulu, PKBM menerusi kenyataan media semalam menggesa KBS dan MSN membuat keputusan dengan segera berhubung sokongan terhadap Azizulhasni kerana tempoh kelayakan LA28 amat ketat, khususnya apabila Kejohanan Dunia Trek di Shanghai akan berlangsung 10 hari selepas Sukan Asia dan menjadi antara platform penting untuk mengutip mata kelayakan. 

Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata pihaknya menghormati pendirian bahawa keputusan berkaitan program Road to Gold (RTG) hanya dibuat selepas Sukan Asia, namun berpendapat pengecualian perlu dipertimbangkan apabila kepentingan negara dan faktor masa memerlukannya. 

“Ini bukan soal memberi layanan istimewa, sebaliknya soal membuat keputusan yang tepat pada waktunya demi kepentingan sukan negara, dan jika kita benar-benar mahu memberi Azizulhasni peluang terbaik membawa cabaran Malaysia ke LA28, keputusan itu perlu dibuat sekarang,” kata Amarjit. – UTUSAN

The post Keputusan Azizulhasni ke Olimpik selepas Sukan Asia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved