
KUALA LUMPUR - Kerajaan dijangka membentangkan penilaian kebolehlaksanaan penganjuran perlumbaan Formula 1 (F1) di Malaysia kepada Jemaah Menteri menjelang November ini sebelum keputusan dibuat berhubung kemungkinan mengembalikan perlumbaan itu secara berkala.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, berkata penilaian itu akan mengambil kira kos penganjuran, unjuran pulangan ekonomi serta keberkesanan pelaburan sebelum kerajaan memutuskan sama ada perlumbaan berkenaan wajar dianjurkan semula.
“Penganjuran F1 bukan murah dan melibatkan kos yang besar. Kita perlu menilai sama ada penganjuran setiap tahun mampu memberikan pulangan setimpal dengan pelaburan.
“Penilaian sedang dijalankan dan menjelang November, kita akan menyediakan laporan untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum keputusan dibuat sama ada F1 akan kembali ke negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengenai kemungkinan membawa kembali F1 ke Malaysia serta faktor yang akan dipertimbangkan kerajaan sebelum membuat keputusan, pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Mohammed Taufiq berkata, kerajaan turut meneliti kemungkinan menganjurkan perlumbaan itu secara berkala, termasuk sekali dalam tempoh beberapa tahun melalui kerjasama dengan negara lain.
Menurutnya, Kementerian Belia dan Sukan merupakan sebahagian daripada Jawatankuasa Penilaian F1 yang turut melibatkan kementerian berkaitan serta Ketua Setiausaha Negara bagi menilai kos dan pulangan pelaburan (ROI).
Beliau berkata, manfaat ekonomi daripada penganjuran F1 perlu melangkaui kementerian dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC), sebaliknya turut memberi kesan positif kepada sektor pelancongan, perhotelan, pengangkutan, peruncitan dan industri berkaitan.
“Kita perlu melihat sama ada pulangan sama boleh dicapai jika F1 dianjurkan setiap tahun, selain menilai kesediaan infrastruktur sedia ada.
“Paling penting, penganjuran acara ini tidak boleh menjejaskan pembangunan sukan lain di negara ini. Peruntukan untuk pembangunan atlet dan sukan kebangsaan mesti diteruskan,” katanya.
Malaysia menjadi tuan rumah Grand Prix Bahrain Gulf Air Formula 1 di Litar Antarabangsa Sepang pada 2 hingga 4 Oktober lalu menerusi aturan membabitkan Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.
Penganjuran itu menyaksikan perlumbaan F1 kembali ke Sepang selepas sembilan tahun, dengan kali terakhir litar berkenaan menjadi tuan rumah perlumbaan itu pada 2017.
Perlumbaan edisi 2026 itu diadakan di Malaysia selepas ketegangan geopolitik di Asia Barat menghalang Grand Prix Bahrain berlangsung mengikut jadual asal.
Mohammed Taufiq berkata, kerajaan turut mengadakan perbincangan awal membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama ketua pegawai eksekutif dan pasukan pengurusan F1 berhubung kemungkinan perlumbaan itu kembali ke Malaysia. - Getaran, 15 Oktober 2026





