
KUALA LUMPUR, 15 OKT: Kerajaan sedang menilai sama ada penganjuran perlumbaan Formula Satu (F1) setiap tahun di negara ini mampu memberikan pulangan ekonomi yang setimpal sebelum memutuskan untuk membawa kembali acara berprestij itu ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) secara kekal.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata penilaian menyeluruh diperlukan kerana penganjuran F1 melibatkan kos besar selain memerlukan penelitian terhadap aspek kebolehlaksanaan serta pulangan pelaburan (ROI).
Beliau berkata walaupun penganjuran F1 Grand Prix (GP) Bahrain di Malaysia dari 2 hingga 4 Oktober diunjurkan menjana pulangan ekonomi sebanyak RM950 juta, kerajaan perlu menilai jika manfaat sama dapat dikekalkan jika perlumbaan itu dianjurkan setiap tahun.
“Kalau kita lihat pada 2017, penjualan tiket kita hanya lebih kurang 30,000 berbanding tahun ini mencecah hampir 100,000 tiket. Ada juga cadangan untuk menganjurkan dalam tempoh beberapa tahun sekali dengan kerjasama mana-mana negara, tapi (ia) masih pada peringkat awal,” katanya.
Mohammed Taufiq berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengenai penganjuran F1 secara kekal pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau memaklumkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diberi mandat untuk mengetuai jawatankuasa penilaian F1 yang melibatkan semua kementerian dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar untuk meneliti kos penganjuran, ROI dan kesediaan infrastruktur bagi memastikan manfaat ekonomi dapat dinikmati secara menyeluruh.
Laporan penilaian itu dijangka siap menjelang akhir November dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk keputusan mengenai penganjuran semula F1 di Malaysia.
Beliau menegaskan sebarang keputusan berhubung F1 perlu memastikan peruntukan untuk pembangunan atlet dan sukan lain tidak terjejas.
Menjawab soalan Datuk Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) mengenai pembangunan bakat sukan permotoran supaya Malaysia tidak hanya menjadi penaja pasukan atau penganjur, beliau berkata KBS memperuntukkan RM5.6 juta pada 2025 bagi melaksanakan 29 program melibatkan 159 siri aktiviti dan pertandingan sukan permotoran dua serta empat roda di seluruh negara.
Mohammed Taufiq berkata usaha membangunkan bakat akar umbi permotoran diteruskan tahun ini menerusi pelbagai program termasuk motocross, go-kart, drift, rali dan perlumbaan mini bike di bawah inisiatif Rakan Muda.
Selain itu, KBS melalui SIC turut menyokong pembangunan pelumba tempatan menerusi kejohanan seperti Malaysia Touring Car Championship (MTCC) dan Sepang 1000km serta komited meneroka peluang kerjasama dengan industri bagi memperkukuh pembangunan bakat tempatan.
Dalam pada itu, Mohammed Taufiq menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas hubungan diplomatik yang baik dengan Bahrain, membolehkan Malaysia menganjurkan F1 GP Bahrain di Malaysia.
Kepulangan F1 ke Malaysia adalah susulan perbincangan dan kerjasama Sultan Ibrahim dan Raja Bahrain Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa serta kedua-dua kerajaan bagi mengekalkan GP Bahrain dalam kalendar F1 2026 selepas perlumbaan itu dibatalkan pada awal musim ini susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.






