
HULU TERENGGANU: Suasana pasar pagi tradisional kembali dihidupkan menerusi kewujudan Pasar Pagi Bira Sungai di Kampung Pantai Ali di sini, dalam suasana santai di tepi sungai.
Pasar yang mula beroperasi sejak tiga minggu lalu itu diadakan setiap Jumaat bermula pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari dan mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat serta pengunjung luar.
Pengasasnya, Zulkifli Ismail berkata, idea mewujudkan pasar berkenaan tercetus selepas melihat konsep Pasar Pendekar di Kelantan yang menarik kehadiran orang ramai.
Katanya, konsep itu kemudian dibawa ke Kampung Pantai Ali, bukan sahaja bagi mewujudkan suasana pasar yang unik, malah membuka peluang kepada penduduk setempat menjana pendapatan.
“Setakat ini terdapat 63 peniaga dengan kira-kira separuh daripadanya adalah penduduk kampung yang sebelum ini tidak pernah berniaga.
“Mereka mengambil peluang menyertai pasar ini untuk menambah pendapatan, sekali gus membantu menghidupkan suasana pasar setiap minggu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Zulkifli berkata, antara tarikan utama pasar itu adalah pelbagai hasil segar termasuk ikan air tawar seperti patin, baung dan tilapia yang diperoleh terus daripada sangkar ikan yang diusahakan penduduk.
“Selain lebih segar, harga yang ditawarkan lebih murah berbanding di tempat lain, sekali gus menjadi tarikan kepada pengunjung,” katanya.
Zulkifli tidak menyangka sambutan yang diterima begitu memberangsangkan sehingga masih ada peniaga yang bertanyakan kekosongan tapak.
“Kami hanya mengenakan yuran penyelenggaraan sebanyak RM5,” katanya. – UTUSAN
The post Pasar pagi tepi sungai meriah appeared first on Utusan Malaysia.



