Ketua Armada Bersatu Teluk Intan umum lepas jawatan

LocalPolitics
12 Mar 2026 • 12:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Muhammad Munawar

IPOH – Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bahagian Teluk Intan, Muhammad Munawar Biran mengumumkan peletakan jawatan serta keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuat kuasa serta-merta pada Rabu.

Muhammad Munawar berkata, keputusan itu dibuat kerana mendakwa wujud pelanggaran terhadap perlembagaan parti serta amalan tadbir urus yang tidak telus di peringkat bahagian.

Menurutnya, keadaan tersebut dapat dilihat apabila pelantikan seorang Ketua Bahagian (Penaja) yang baharu di Bersatu Bahagian Teluk Intan dibuat tanpa memaklumkan Timbalan Ketua Bahagian dan barisan Jawatankuasa Bahagian yang dipilih secara sah.

"Apa yang berlaku di Bersatu Bahagian Teluk Intan amat mengecewakan dan mencalar prinsip demokrasi dalam parti.

"Timbalan Ketua Bahagian serta barisan Jawatankuasa Bahagian yang dipilih secara sah melalui pemilihan parti langsung tidak dimaklumkan mengenai pelantikan seorang Ketua Bahagian (Penaja) yang baharu, selepas pemecatan Ketua Bahagian sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Muhammad Munawar mendakwa, individu yang dilantik itu juga tidak mempunyai sokongan kukuh di peringkat bahagian malah sering gagal mencapai korum untuk mengadakan mesyuarat cawangan.

Katanya, situasi berkenaan menimbulkan persoalan mengenai ketelusan serta kewajaran proses membuat keputusan dalam parti.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan satu laporan rasmi telah dibuat oleh Timbalan Ketua Bersatu Bahagian bersama jawatankuasa bahagian kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) bagi memohon siasatan dijalankan.

Menurutnya, laporan tersebut dibuat di bawah Akta Pertubuhan 1966 berhubung dakwaan pelanggaran perlembagaan pertubuhan serta penyalahgunaan kuasa dalam pelantikan Ketua Bahagian (Penaja) bagi Bersatu Bahagian Teluk Intan.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa surat peletakan jawatan tersebut sudah dihantar ke Pejabat Bersatu Bahagian Teluk Intan untuk tindakan lanjut.