KUANTAN- Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 29 Jun depan sebagai tarikh baharu bagi pengurusan kes bekas penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang didakwa menghina Al-Quran dan memuat naik kandungan menghina Islam di media sosial, Februari lalu.
Hakim Harmi Thamri Mohamad menetapkan tarikh itu untuk mendengar keputusan representasi yang dikemukakan peguam, Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman mewakili S. Vikneswaran, 21.
Bagaimanapun katanya, tiada sebarang perubahan pada tarikh perbicaraan yang dijadualkan selama lima hari bermula 3 Ogos ini.
"Mahkamah akan menetapkan tarikh untuk pengurusan kes menyemak status representasi.
"Semoga kes ini dapat segera diselesaikan tanpa sebarang kelewatan dengan 29 Jun ini ditetapkan sebagai tarikh pengurusan kes baharu manakala jaminan dilanjutkan," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Abdul Wahab berkata, representasi dikemukakan pihak peguam bela akan dimajukan ke ibu pejabat (Jabatan Peguam Negara) untuk maklum balas.
April lalu, mahkamah itu menetapkan perbicaraan kes itu ditetapkan selama lima hari bermula 3 Ogos hadapan.
Vikneswaran ditahan pada 25 Februari lalu ekoran hantaran media sosial yang didakwa menyentuh sensitiviti kaum, agama, dan raja (3R).
Tertuduh telah dituduh di mahakamah itu 3 Mac lalu namun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dihadapi.
Sementara itu, Jawatankuasa tatatertib pelajar UMPSA turut bertindak menyingkirkannya dari universiti itu pada 24 Mac lalu selepas mendapati dia bersalah atas kesalahan disiplin yang melibatkan isu sensitif berkaitan 3R.






