
SEBERANG PERAI – Kerajaan Madani memberi jaminan bahawa tiada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) akan ditutup, sebaliknya institusi pendidikan itu akan terus diberi perhatian dari aspek pembangunan dan penyelenggaraan.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, jaminan itu perlu ditegaskan berikutan masih terdapat pandangan dalam masyarakat yang mendakwa sekolah-sekolah jenis kebangsaan, khususnya SJKT, berdepan kemungkinan untuk ditutup.
Menurutnya, kerajaan komited memastikan semua sekolah terus diperkasakan termasuk menerusi pembangunan infrastruktur serta program melibatkan pengukuhan guru dan pelajar.
“Saya perlu ulang penegasan tersebut kerana saya fikir masih ada lagi di dalam masyarakat kita yang memberikan satu pandangan bahawa sekolah-sekolah ini akan ditutup dan sebagainya.
“Tapi kita bagi jaminan, sebagai Kerajaan Madani, tiada SJKT yang akan ditutup. Malah, kita akan berikan tumpuan kepada semua sekolah untuk pembangunan, penyelenggaraan, dan juga program-program yang terkait dengan pengukuhan guru dan juga para pelajar kita,” katanya di Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Pecah Tanah Projek Pembinaan SJKT Sungai Bakap di sini, hari ini.
Projek pembinaan sekolah baharu itu menelan kos RM12.6 juta dan dijangka siap dalam tempoh 56 minggu, manakala bangunan lama masih beroperasi dengan menempatkan lebih 100 pelajar. – KOSMO! ONLINE
The post Kerajaan beri jaminan SJKT tidak akan ditutup appeared first on Kosmo Digital.






