
PETALING JAYA – Sekolah di 12 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Sarawak akan ditutup sementara dan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) susulan keadaan jerebu yang melanda negeri itu.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, penutupan sementara berkenaan membabitkan sekolah di PPD Kuching, Padawan, Bau, Lundu, Samarahan, Simunjan, Serian, Sri Aman, Lubok Antu, Kanowit, Julau dan Meradong.
Menurut beliau, sekolah di daerah lain bagaimanapun akan beroperasi seperti biasa secara bersemuka mulai 7 September 2026 (Isnin).
“Susulan keadaan jerebu di Sarawak, hanya sekolah di 12 PPD yang telah diumumkan akan melaksanakan PdPR.
“Sekolah di daerah lain beroperasi seperti biasa secara bersemuka mulai 7 September 2026,” katanya dalam kenyataan menerusi media sosial hari ini.
Fadhlina turut mengingatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa menyemak pemakluman daripada pihak sekolah masing-masing serta mengikuti saluran rasmi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak bagi mendapatkan perkembangan terkini.
Beliau pada masa sama menasihatkan ibu bapa, penjaga dan warga sekolah supaya menjaga kesihatan serta keselamatan anak-anak sepanjang musim jerebu.
“Jaga diri dan kesihatan anak-anak sepanjang musim jerebu ini,” katanya.- KOSMO! ONLINE
The post Jerebu: Sekolah di 12 PPD Sarawak tutup appeared first on Kosmo Digital.






