
PETALING JAYA: Kerajaan tidak akan meminggirkan masyarakat India bahkan berikrar untuk terus memperluaskan pelbagai ikhtiar dalam pendidikan, kebajikan dan lain-lain kepada komuniti tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau meneruskan siri libat urus bersama pimpinan masyarakat India bagi meneliti kemajuan pelaksanaan agenda Kerajaan Madani, di samping mendengar pandangan serta keresahan yang masih membelenggu komuniti ini.
Katanya, pelbagai ikhtiar telah digerakkan dalam bidang pendidikan, keusahawanan, pembiayaan mikro, kebajikan dan bantuan tunai bagi meringankan beban keluarga serta meningkatkan taraf hidup.
“Saya tegaskan bahawa masyarakat India tidak akan sesekali dipinggirkan dan Kerajaan Madani akan terus memperluas akses pembiayaan kepada usahawan, memperkukuh MITRA, memperkasa latihan keusahawanan dan TVET serta membuka lebih banyak ruang pembangunan belia melalui program mentor-mentee,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Dalam masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan itu berkata, segala kelompongan yang masih wujud, termasuk berkaitan kemiskinan, kewarganegaraan dan akses kepada bantuan, mesti ditangani dengan segera dan berkesan.
“Kementerian dan agensi berkaitan perlu memperkukuh sinergi dan memperkemas penyampaian supaya setiap peruntukan serta dasar yang digerakkan benar-benar sampai kepada sasaran dan membawa perubahan yang nyata dalam kehidupan rakyat,” katanya.-UTUSAN
The post Kerajaan tak pinggir masyarakat India – PM appeared first on Utusan Malaysia.






