Kerajaan guna semula pinjaman RM5 bilion projek terbengkalai bagi bekalan air Perak, Pulau Pinang

LocalBusiness & Finance
30 Oct 2026 • 4:37 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerajaan guna semula pinjaman RM5 bilion projek terbengkalai bagi bekalan air Perak, Pulau Pinang Image from: Kerajaan guna semula pinjaman RM5 bilion projek terbengkalai bagi bekalan air Perak, Pulau Pinang sarah30/10/2026 - 16:37 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Okt - Kerajaan memuktamadkan perjanjian penyaluran semula pinjaman RM5 bilion yang sebelum ini berkaitan dua projek saluran paip minyak dan gas yang ditamatkan pada 2018, bagi membiayai pembangunan infrastruktur bekalan air di Perak dan Pulau Pinang.

 

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MOF) hari ini, perjanjian itu dimeterai antara Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER), syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan, dengan Export-Import Bank of China (CEXIM) bagi membiayai Skim Bekalan Air Perak Utara (NPWSS).

 

Kementerian itu berkata, persetujuan tersebut membolehkan RM5 bilion daripada pinjaman terdahulu digunakan semula untuk membangunkan infrastruktur asas, sekali gus mengurangkan kerugian yang timbul daripada projek Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) dan Multi-Product Pipeline (MPP) yang ditamatkan.

 

Perjanjian itu ditandatangani Ahli Lembaga Pengarah SSER, Mohd Fariszan Ahmad dan Naib Presiden CEXIM, Kang Wang, dalam majlis yang disaksikan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

NPWSS merupakan projek bekalan air bersepadu yang melibatkan penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah, kerja menaik taraf sepanjang Sungai Kurau dan Terusan Besar serta pembinaan loji rawatan air di Kamunting dan Bogak.

 

Menurut MOF, projek itu menyasarkan kapasiti bekalan air sebanyak 700 juta liter sehari bagi utara Perak, termasuk kawasan perindustrian Kerian, manakala 300 juta liter sehari disasarkan bagi Pulau Pinang.

 

Selain itu, projek berkenaan turut menyasarkan bekalan 500 juta liter air mentah sehari untuk pengairan pertanian, dengan kerja pembinaan akan dilaksanakan oleh kontraktor tempatan.

 

Kementerian itu berkata, pelaksanaan NPWSS dijangka memperkukuh jaminan bekalan air jangka panjang bagi memenuhi permintaan domestik, pertanian dan perindustrian, selain menyokong pembangunan ekonomi khususnya di utara Perak.

 

Majlis pemeteraian turut disaksikan Timbalan Perdana Menteri II merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof serta beberapa wakil kanan kerajaan Malaysia dan China, termasuk Pengerusi CEXIM, Chen Huaiyu.

 

Sebagai latar belakang, projek TSGP dan MPP ditamatkan pada 2018, namun kerajaan masih bertanggungjawab membayar balik pinjaman berkaitan berjumlah RM8 bilion kepada CEXIM walaupun kedua-dua projek tidak dilaksanakan. Menurut MOF, isu itu belum dapat diselesaikan meskipun pelbagai usaha dilakukan oleh tiga pentadbiran terdahulu sebelum perjanjian penyaluran semula RM5 bilion dimuktamadkan.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved