
PETALING JAYA: Kerajaan dicadang memperkenalkan Pakej Kelangsungan dan Daya Tahan PMKS bagi membantu perniagaan kecil yang berdepan tekanan kos, aliran tunai dan pembiayaan.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, pakej itu perlu diselaraskan secara menyeluruh bagi memastikan bantuan kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) lebih cepat, mudah dicapai dan menepati keperluan sebenar perniagaan.
Menurutnya, bantuan yang lewat disalurkan mungkin tidak lagi berkesan kepada perniagaan kecil yang sedang bergelut dengan aliran tunai.
“Bagi perniagaan kecil yang bergelut dengan aliran tunai, bantuan yang diterima tiga atau enam bulan lewat mungkin bukan lagi bantuan.
“Ketika itu, perniagaan mungkin sudah menanggung tunggakan, kehilangan pekerja, kehilangan pelanggan atau menghentikan operasi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pakej itu boleh merangkumi pelepasan cukai sementara dan bersasar, akses pembiayaan lebih pantas, proses permohonan lebih ringkas serta penilaian pembiayaan yang lebih praktikal.
Katanya, kerajaan juga boleh memperluas penggunaan pembiayaan berasaskan aliran tunai supaya PMKS yang berdaya maju tidak dinafikan pembiayaan hanya kerana kekurangan cagaran konvensional.
Mengulas lanjut, MEF turut mencadangkan kerajaan mempertimbangkan pelepasan sementara terhadap kos pematuhan dan peraturan tertentu yang membebankan PMKS.
“Agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga perlu menjadi contoh dengan memastikan bayaran kepada pembekal PMKS dibuat segera,” katanya.
Pada masa sama, MEF mencadangkan akses PMKS kepada perolehan kerajaan dan rantaian bekalan GLC diperluaskan, selain sokongan pengekalan pekerjaan diberikan secara bersasar bagi mengelakkan pemberhentian pekerja yang boleh dielakkan.
Beliau berkata, dasar berkaitan PMKS perlu dilihat dari sudut pekerjaan dan kemampanan ekonomi, bukan semata-mata bantuan kepada perniagaan.
“Kerajaan tidak seharusnya perlu memilih antara membantu perniagaan dan membantu pekerja.
“Membantu PMKS yang berdaya maju untuk bertahan adalah satu cara penting melindungi pekerja kerana perniagaan ini menyediakan pekerjaan kepada jutaan rakyat Malaysia dan menyokong rantaian bekalan domestik yang luas,” katanya.
Beliau berkata, bantuan kerajaan juga perlu mendorong PMKS meningkatkan produktiviti, digitalisasi operasi, menggunakan teknologi, membangunkan kemahiran pekerja dan menjadi lebih berdaya saing. –UTUSAN
The post Kerajaan dicadang perkenal pakej kelangsungan PMKS appeared first on Utusan Malaysia.






