liza12/08/2026 - 12:41 Gambar hiasan Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Ogos – Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menggesa kerajaan melaksanakan segera pakej sokongan khas bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang berdepan peningkatan kos operasi serta aliran tunai yang semakin terbeban.
Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata bantuan yang dilaksanakan perlu disalurkan dengan lebih pantas bagi memastikan perniagaan yang masih berdaya maju dapat terus beroperasi.
Beliau berkata kelewatan mendapatkan bantuan boleh menyebabkan lebih banyak PMKS terpaksa menutup operasi, sekali gus meningkatkan risiko pemberhentian pekerja.
Menurutnya, MEF mengalu-alukan inisiatif kerajaan sedia ada termasuk lebih RM5 bilion kemudahan pembiayaan mikro, namun proses mendapatkan pembiayaan perlu dipermudahkan dan tidak dibebani kelewatan pentadbiran.
“Apabila sebuah PMKS ditutup, kita bukan sahaja kehilangan satu perniagaan, tetapi berpotensi kehilangan pekerjaan, pembekal, pelanggan, aktiviti ekonomi tempatan dan sebahagian penting daripada ekosistem keusahawanan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Pakej Kelangsungan Untuk PMKS
Syed Hussain berkata kerajaan juga tidak seharusnya teragak-agak mempertimbangkan langkah fiskal bersasar sekiranya tekanan terhadap PMKS semakin meningkat.
Bagi melindungi sektor berkenaan, MEF mencadangkan pelaksanaan “Pakej Kelangsungan dan Daya Tahan PMKS” yang merangkumi beberapa langkah bagi membantu perniagaan menghadapi tekanan kewangan semasa.
Antara cadangan itu ialah pelepasan cukai sementara serta mempercepatkan proses kelulusan pembiayaan supaya PMKS dapat memperoleh dana yang diperlukan dalam tempoh lebih singkat.
MEF turut mencadangkan supaya institusi kewangan lebih memberi tumpuan kepada kemampuan syarikat menjana aliran tunai berbanding bergantung sepenuhnya kepada keperluan cagaran ketika menilai permohonan pinjaman.
Selain itu, pakej berkenaan dicadangkan merangkumi peluasan jaminan kredit dan pengurangan kos pematuhan peraturan bagi mengurangkan beban yang ditanggung oleh PMKS.
Bantu Perniagaan Kekalkan Pekerja
MEF turut mencadangkan supaya entiti berkaitan kerajaan memberikan tempoh pembayaran yang lebih singkat kepada PMKS bagi membantu melancarkan aliran tunai syarikat.
Menurut Syed Hussain, langkah itu penting kerana kelewatan menerima bayaran boleh memberi tekanan kepada perniagaan yang bergantung kepada aliran tunai untuk membayar kos operasi, pembekal dan pekerja.
Beliau berkata insentif bersasar untuk membantu syarikat mengekalkan pekerja juga perlu dipertimbangkan bagi mengelakkan kehilangan pekerjaan ketika perniagaan berdepan tekanan kewangan.
“Membantu PMKS yang masih berdaya maju untuk bertahan adalah satu cara melindungi pekerja kerana perniagaan ini menyediakan pekerjaan kepada jutaan rakyat Malaysia serta menyokong rangkaian bekalan domestik yang luas,” katanya.
Pada masa sama, Syed Hussain berkata sokongan kerajaan perlu menggalakkan PMKS meningkatkan produktiviti, melaksanakan pendigitalan, menggunakan teknologi, membangunkan kemahiran serta meningkatkan daya saing. - DagangNews.com





