Penduduk pernah protes, tahan lori

LocalEnvironment
11 Aug 2026 • 12:15 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Penduduk pernah protes, tahan lori

PONTIAN – Satu pasukan petugas khas dicadang supaya diwujudkan bagi menangani isu pembuangan sisa bahan binaan dari Singapura yang semakin meresahkan penduduk daerah ini.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussein Mion Hussain berkata, Pejabat Daerah Pontian dicadang mengetuai pasukan itu dengan penglibatan pelbagai agensi berkaitan bagi memastikan isu tersebut dapat ditangani secara menyeluruh.

“Langkah ini penting bagi menyelaras tindakan penguatkuasaan termasuk aspek kema­sukan, pengangkutan, pembua­ngan sisa dan pematuhan syarat ditetapkan bagi mengelakkan aktiviti tersebut mengganggu penduduk setempat.

“Perkara ini memerlukan kerjasama semua agensi. Kita harap task force ini dapat diwujudkan dengan diketuai Pejabat Daerah Pontian bersama agensi-agensi lain,” katanya selepas meninjau tapak pembuangan sisa binaan di Kampung Sungai Senai, Mukim Sungai Karang, di sini semalam.

Jelasnya, sebelum ini, pihak­nya me­nerima aduan berhubung gangguan pergerakan lori membawa sisa binaan seperti jalan berhabuk dan berlumpur ketika hujan selain aktiviti tersebut dilakukan hingga lewat malam.

Situasi menjadi tegang apabila penduduk Kampung Jeram Batu, Pekan Nanas menahan lori dan treler sehingga memerlukan campur tangan pihak berkuasa bagi meredakan keadaan.

“Kita harap operator pe­ngangkutan tidak mengganggu penduduk sehingga mencetuskan kemarahan dan sebagainya. Jika berlaku lagi pada masa akan datang, ia boleh menimbulkan kekecohan awam,” katanya.

Susulan itu, sebuah tapak pembuangan sisa bahan binaan diarah tutup bagi meredakan kemarahan penduduk.

Selain itu, polis turut me­nerima aduan daripada pengguna jalan raya yang terlanggar bongkah batu di Jalan Kampung Sungai Senai-Belokok pukul 1.45 pagi, 21 Julai lalu menyebabkan tayar dan rim kenderaannya pe­cah.

Bongkah bersaiz bola boling itu dipercayai berada di tengah jalan berhampiran tapak pembuangan sisa ketika kerja-kerja dijalankan pada lewat malam, sekali gus mengganggu panda­ngan pengguna jalan raya.

Bagaimanapun, katanya, pemaju atau pemilik tapak membayar ganti rugi kepada pemilik kenderaan terbabit.

Tegasnya, isu tersebut tidak wajar dipandang enteng kerana membabitkan aspek keselamat­an dan kelancaran lalu lintas yang memerlukan tindakan bersepadu pelbagai agensi.

Ditanya mengenai permit kemasukan sisa bahan binaan, beliau berkata, perkara itu dikendalikan agensi penguatkuasaan berkaitan di Kompleks Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang

The post Penduduk pernah protes, tahan lori appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved