
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menggubal Akta berkaitan e-dagang bagi memastikan ekosistem perdagangan digital negara kekal adil, telus dan berdaya saing, di samping melindungi kepentingan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, Jemaah Menteri telah meluluskan dasar bagi menggubal akta berkenaan, selain menubuhkan Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Teknikal untuk menyelaras pelaksanaannya.
Menurut beliau, langkah itu diambil susulan perkembangan pesat perdagangan digital rentas sempadan yang menimbulkan pelbagai cabaran termasuk isu pematuhan penjual asing, perlindungan pengguna, keselamatan produk dan persaingan yang adil kepada peniaga tempatan.
“Melalui penggubalan akta ini, kerajaan akan meneliti secara menyeluruh aspek tanggungjawab platform e-dagang, transaksi rentas sempadan, pematuhan penjual asing, perlindungan pengguna, ketelusan maklumat penjual dan produk, mekanisme penyelesaian pertikaian serta kaedah penguatkuasaan terhadap entiti yang tidak mempunyai kehadiran fizikal di Malaysia.
“Pada masa sama, kepentingan PMKS dan peruncit tempatan akan terus diberi perhatian bagi memastikan mereka dapat bersaing dalam ekosistem perdagangan digital yang lebih adil dan mampan,” katanya dalam ucapan penangguhan mesyuarat di Dewan Negara, di sini hari ini.
Fuziah berkata, kerajaan mengambil pendekatan menyeluruh yang membabitkan pelbagai agensi bagi menangani isu berkenaan secara berkesan, termasuk aspek percukaian, kastam, persaingan, standard produk dan perlindungan pengguna.
Sementara itu, mengulas dakwaan amalan penetapan harga pemangsa, beliau berkata, harga yang rendah semata-mata tidak boleh dianggap sebagai bukti berlakunya amalan antipersaingan.
Katanya, penilaian perlu dibuat berdasarkan fakta, data pasaran dan bukti yang mencukupi, termasuk struktur kos sebenar, sumber subsidi atau pembiayaan, kedudukan pasaran, tempoh harga rendah ditawarkan serta kesannya terhadap pesaing.
“Kerajaan akan terus mengekalkan dasar ekonomi pasaran terbuka yang menggalakkan persaingan sihat, namun kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan kedudukan pasaran sehingga menjejaskan pengguna dan peniaga tempatan.
“Kerajaan tidak memilih antara kepentingan pengguna dan peniaga tempatan. Pendekatan yang diambil adalah untuk memastikan kedua-duanya terus dilindungi dalam ekosistem perdagangan digital yang terbuka, kompetitif dan bertanggungjawab,” katanya. – UTUSAN
The post Kerajaan gubal akta baharu perkasa ekosistem e-dagang appeared first on Utusan Malaysia.




