
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan memperkukuh agenda pembangunan Sabah menerusi pelan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi meneruskan usaha membina negeri yang lebih maju, berdaya saing dan makmur, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, usaha itu selaras dengan aspirasi tema Hari Kebangsaan tahun ini, “Malaysia Madani: Kesejahteraan Dinikmati”.
“Pelan hala tuju ini memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi mampan, pemerkasaan modal insan, peningkatan produktiviti, daya saing, penerapan inovasi dan teknologi serta pembangunan inklusif supaya manfaatnya dapat dinikmati seluruh rakyat Sabah,” katanya pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Sabah dan Kempen Kibar Bendera di Menara Kinabalu, pada Sabtu.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Masidi Manjun yang juga Menteri Kewangan.
Hajiji berkata, kerajaan negeri akan terus memperkukuh pelbagai inisiatif yang memberi impak langsung kepada rakyat, termasuk dalam bidang pendidikan, kebajikan, perumahan, kesihatan, pembangunan luar bandar, pemerkasaan wanita dan belia serta penyediaan kemudahan asas yang lebih baik.
“Saya yakin dengan semangat kebersamaan, integriti dalam tadbir urus, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan serta sokongan padu rakyat, kita mampu membawa Sabah melangkah lebih jauh sebagai sebuah negeri yang lebih maju dan makmur.
“Akhirnya, ukuran sebenar kejayaan sesebuah kerajaan bukanlah pada apa yang dibina, tetapi sejauh mana rakyat mendapat manfaat daripada pembangunan itu,” katanya.
Beliau berkata, pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai acara simbolik, sebaliknya perlu dihayati dengan semangat patriotisme yang tinggi.
“Marilah kita bersama-sama menghayati erti sebenar kemerdekaan. Kemerdekaan bukan sahaja bebas daripada penjajahan, tetapi juga bebas daripada belenggu kemiskinan dan perpecahan.
“Ia adalah anugerah yang amat berharga dan perlu kita hargai serta pertahankan,” katanya.
Hajiji berkata, dalam era digital, rakyat mempunyai lebih banyak peluang untuk menyuarakan pandangan dan mengikuti perkembangan pembangunan negeri.
“Kerajaan Negeri menghargai setiap pandangan dan kritikan membina sebagai cerminan keprihatinan rakyat terhadap masa depan Sabah.
“Namun, setiap pandangan hendaklah disuarakan secara bertanggungjawab, berasaskan fakta yang sahih dan dengan niat untuk membina, bukannya memecahbelahkan masyarakat.
“Marilah kita memanfaatkan teknologi secara bijaksana untuk menyebarkan maklumat yang tepat, memupuk persefahaman dan memperkukuh perpaduan,” katanya.
Beliau turut menggesa rakyat mengibarkan Jalur Gemilang di seluruh negeri dengan penuh rasa bangga dan semangat patriotik.
“Semoga seluruh rakyat Sabah terus bersatu, berganding bahu dan saling menyokong demi masa depan Sabah yang lebih cemerlang.
“Jadikan sambutan tahun ini sebagai azam baharu untuk membina Sabah yang lebih maju dan makmur,” katanya.
Turut hadir, Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick serta Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab.





