
KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal sekuriti tenaga negara meskipun giat menarik pelaburan industri pusat data ke Malaysia.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, setiap permohonan pelaburan pusat data perlu melalui proses penilaian yang sangat ketat bagi memastikan keperluan tenaga dan air dapat dipenuhi tanpa menjejaskan bekalan untuk rakyat serta sektor industri negara.
Menurutnya, kerajaan juga menubuhkan pasukan petugas khas pusat data yang menghimpunkan pelbagai kementerian dan agensi bagi menilai setiap permohonan antaranya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Kementerian Digital serta Suruhanjaya Tenaga bagi tujuan tersebut.
“Industri pusat data hanyalah satu bentuk pelaburan, (bagaimanapun) kerajaan sentiasa meletakkan kebajikan rakyat serta sekuriti tenaga negara sebagai keutamaan.
“Kerajaan telah mengenal pasti kapasiti tenaga sedia ada sebelum sebarang kelulusan diberikan dan jika keperluan mereka boleh dipenuhi, barulah kita luluskan. Jika tidak, kita tidak akan memaksa atau melangkaui kemampuan sedia ada,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Senator Susan Chemerai Anding, berhubung strategi jangka panjang kerajaan dalam menarik pelaburan pusat data tanpa menjejaskan sekuriti tenaga negara serta bekalan elektrik untuk isi rumah dan industri negara.
Tambah beliau, pembangunan pusat data turut melibatkan aspek lain termasuk penaiktarafan rangkaian yang memerlukan penelitian rapi sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Jadi, kerajaan sentiasa berhati-hati dalam meluluskan sebarang permohonan berkaitan pusat data,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Kerajaan jamin sekuriti tenaga negara terpelihara appeared first on Kosmo Digital.





