Kerajaan kata tiada harga barang naik ketara susulan pelaksanaan subsidi minyak bersasar

LocalPolitics
18 Nov 2026 • 2:22 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerajaan kata tiada harga barang naik ketara susulan pelaksanaan subsidi minyak bersasar Image from: Kerajaan kata tiada harga barang naik ketara susulan pelaksanaan subsidi minyak bersasar amree18/11/2026 - 14:22 Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Nov – Lebih 850 pegawai pemantau harga dikerahkan setiap hari ke seluruh negara bagi mengesan sebarang kenaikan tidak munasabah harga barangan keperluan susulan pelaksanaan subsidi bahan api bersasar, yang setakat ini tidak mencetuskan peningkatan harga ketara.

 

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, langkah pemantauan melibatkan lebih 2,000 premis perniagaan mendapati tiada kenaikan drastik harga barangan keperluan atau tambang pengangkutan awam dilaporkan selepas pelaksanaan sistem subsidi berkenaan.

 

Menurut kementerian berkenaan, hasil dapatan tersebut merangkumi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang sudah lama dilaksanakan bermula 10 Jun 2024 dan terbaharu, Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) berkuat kuasa sejak 30 September 2025.

 

"Pengagihan subsidi melalui SKDS dan SKPS turut mengambil kira kesannya terhadap kos pengangkutan barangan keperluan, tambang pengangkutan awam darat serta perkhidmatan feri dan bot penumpang," kata KPDN dalam jawapan bertulis menerusi laman web rasmi Parlimen.

 

Ia bagi menjawab pertanyaan dikemukakan daripada Datuk Awang Hashim (Perikatan Nasional-Pendang) mengenai tahap keberkesanan subsidi bahan api bersasar dalam menangani masalah kos operasi pengangkutan barangan serta kesan semasa terhadap harga pengguna.

 

Ahli Parlimen tersebut turut meminta penjelasan oleh kementerian berkenaan mengenai mekanisme intervensi kerajaan sekiranya langkah penjimatan fiskal hasil pelaksanaan subsidi minyak tersebut menyebabkan harga barangan kepada pengguna pula meningkat.

 

sektor pengguna_DagangNews2026
Gambar hiasan

 

Menjelaskan lanjut, data harga yang dikumpulkan pegawai pemantau KPDN dianalisis bagi mengesan turun naik harga secara tidak munasabah, selain berfungsi sebagai mekanisme amaran awal kepada kementerian tersebut untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.

 

"Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat harga pasaran dalam masa sebenar menerusi aplikasi PriceCatcher bagi membolehkan mereka dapat membuat perbandingan harga dan menentukan pilihan pembelian berdasarkan maklumat semasa," jelas kementerian itu.

 

Pada masa sama, KPDN mempergiat penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) bagi membendung manipulasi harga serta kegiatan mengambil keuntungan berlebihan, termasuk memastikan subsidi bersasar itu tidak dijadikan alasan menaikkan harga barangan.

 

Kementerian itu turut melaksanakan operasi khas Ops Kesan apabila perubahan dasar atau perkembangan ekonomi berpotensi mempengaruhi harga barangan dan perkhidmatan. Setakat 2026, enam siri operasi dijalankan, termasuk Ops Kesan 2.0 susulan pelaksanaan subsidi diesel bersasar.

 

Melalui operasi itu, KPDN memantau keseluruhan rantaian bekalan dan boleh mengeluarkan notis bertulis mengikut Seksyen 21 Akta 723 bagi meneliti perubahan kos serta margin keuntungan. Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pihak yang didapati melakukan pencatutan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved