
KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang meminda Akta Perkhidmatan Pos bagi memperkukuh kawal selia sektor kurier termasuk meningkatkan aspek keselamatan penghantaran.
Ia susulan kebimbangan perkhidmatan itu disalahgunakan untuk kegiatan menyalahi undang-undang.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu antara isu yang telah dibincangkan antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau berkata, sesi libat urus bersama syarikat-syarikat kurier juga telah diadakan sejak tahun lalu bagi mendapatkan kerjasama industri dalam memastikan perkhidmatan berkenaan tidak disalahgunakan.
“Memang ini salah satu isu yang dibincangkan antara MCMC dengan pihak PDRM sebelum ini. Sejak tahun lalu, sesi libat urus bersama syarikat-syarikat kurier telah diadakan.
“Kami meminta kerjasama syarikat-syarikat kurier untuk membantu memastikan sebarang produk yang dihantar tidak menimbulkan isu, sama ada dari aspek keselamatan ataupun melanggar undang-undang
“Pada masa yang sama, pihak MCMC dan Kementerian Komunikasi sedang meneliti Akta Perkhidmatan Pos untuk membuat beberapa pindaan, antara lain untuk pastikan sektor kurier terkandung dalam akta termasuk untuk menjamin aspek keselamatan seperti yang diminta oleh pihak PDRM.
“Jadi pindaan itu akan dibuat mungkin dalam mesyuarat pertama ataupun paling lewat mesyuarat kedua sidang Parlimen tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian TikTok Shop Summit 2026 di sini hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan PDRM akan mengadakan perbincangan dengan MCMC dan Kementerian Pengangkutan bagi memperketat prosedur perkhidmatan kurier, penghantaran barang dan p-hailing.
Langkah itu sebahagian usaha pihak berkuasa membanteras kegiatan penyeludupan dadah dan barangan terlarang lain yang menggunakan perkhidmatan berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan, sebelum ini berkata terdapat kelompangan dalam ekosistem perkhidmatan kurier dan p-hailing yang dieksploitasi sindiket untuk menghantar bahan terlarang, termasuk dadah.
Menurut beliau, sindiket terbabit turut menggunakan identiti palsu atau identiti individu lain, selain alamat orang lain atau premis tertentu bagi mengaburi pihak berkuasa. – UTUSAN
The post Kerajaan cadang pinda Akta Perkhidmatan Pos, perketat sektor kurier appeared first on Utusan Malaysia.






