
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata Kerajaan Negeri Kelantan tiada hak untuk mengambil sebarang tindakan terhadap mana-mana individu yang menyewakan kediaman dan tanah mereka kepada warga asing termasuk komuniti Rohingya.
Hal ini kerana menurutnya, aset tersebut adalah hak mutlak pemilik kediaman.
PBT Boleh Ambil Tindakan Jika Etnik Rohingya Bina Kediaman Di Tanah Milik Kerajaan
Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan (PBT) hanya boleh mengambil tindakan sekiranya komuniti tersebut mendirikan kediaman di tanah milik kerajaan kerana ia dianggap perbuatan menceroboh.
Selain itu, Hilmi berkata kerajaan negeri juga boleh mengambil tindakan sekiranya warga asing menjalankan perniagaan tanpa permit.
“Mana-mana individu yang menyewakan tanah atau rumah kepada warga asing dan komuniti Rohingya, itu adalah hak mutlak mereka dan kita tiada hak untuk ambil tindakan.
“Begitu juga seperti di Lembah Klang, kediaman disewakan kepada warga asing. Itu tidak tidak menjadi kesalahan memandangkan harta mereka.
“Melainkan komuniti berkenaan menceroboh tanah milik kerajaan atau menjalankan perniagaan atau bekerja tanpa permit, itu baru boleh diambil tindakan,” katanya.
Pemilik Tanah Sendiri Perlu Ada Kesedaran Untuk Kawal Lambakan Etnik Rohingya – Hilmi
Justeru Hilmi berkata, bagi mengatasi masalah populasi komuniti Rohingya yang bertambah di sesebuah lokasi, pemilik tanah atau kediaman sendiri perlu mempunyai kesedaran.
“Untuk membendung masalah komuniti Rohingya, ia memerlukan kesedaran dalam kalangan pemilik tanah atau kediaman itu sendiri, jika tidak mahu kedatangan komuniti itu makin bertambah jangan sewakan kepada Rohingya sama ada rumah dan sebagainya,” katanya, lapor Harian Metro.
Ada Penduduk Yang Sewakan Rumah Kerana Rasa Simpati Dengan Etnik Rohingya
Pun begitu menurut Hilmi, antara cabaran yang dilalui sekarang adalah segelintir penduduk didakwa berasa simpati dengan komuniti tersebut sekaligus menyebabkan mereka menyewakan kediaman.
“Namun untuk memantau kumpulan ini ia adalah bidang kuasa Jabatan Imigresen. Di pihak kami sebagai PBT kita hanya boleh mengambil tindakan tertentu yang membabitkan undang-undang PBT,” katanya.
Penduduk Bimbang Etnik Rohingya Yang Usahakan Ladang Sirih Bertambah, Dari 15 Orang Kini Hampir Cecah 100
Sebelum ini, kecoh mengenai hamparan ladang sirih seluas lebih dua hektar yang dipercayai diusahakan etnik Rohingya di Kampung Padang Guchil, Tanah Merah di Kelantan.
Memetik Berita Harian, ladang itu disewa daripada pemilik tanah yang berada di luar Kelantan pada kadar RM600 hingga RM1,000 bagi setiap hektar, sebelum hasilnya dijual kepada pemborong.
Ladang yang sudah diusahakan beberapa bulan lalu itu kemudiannya membuatkan masyarakat sekitar berasa resah.
Penduduk mendakwa kehadiran etnik Rohingya di kampung berkenaan dan kawasan sekitar hanya bermula dengan sekitar 15 orang lebih 10 tahun lalu, namun kini didakwa bertambah sehingga hampir 100 orang.
Kawasan Ladang Sirih Sudah Disita Kerana Tiada Permohonan Permit Dilakukan
Bagaimanapun, kawasan ladang sirih dan kediaman yang sedang dibina di kawasan terbabit sudah pun disita PBT sejak beberapa hari lalu kerana telah melanggar syarat tanah.
“Syarat nyata kegunaan lot tanah berkenaan adalah tanaman getah dan dusun, namun ia ditanam dengan tanaman sirih dan itu menjadi kesalahan selain tiada permohonan dibuat untuk perancangan ladang.
“Bagi pembinaan, bangunan kediaman itu disita kerana tiada permohonan dibuat atau tidak mendapatkan permit permohonan,” kata Hilmi.
Baca Artikel Berkaitan: Isu Rohingya Di Malaysia Umpama ‘Bom Jangka’, Boleh Gugat Kestabilan Politik – Syed Saddiq [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Ada Rakyat Tempatan Bersekongkol & Lindungi PATI Termasuk Rohingya – Amirudin Shari
Baca Artikel Berkaitan: Ini Sejarah & Info Ringkas Tentang Etnik Rohingya






