amree26/11/2026 - 17:15 Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Nov — Kerajaan mungkin melaksanakan perubahan terhadap struktur pengurusan dan lembaga pengarah AirAsia Group Berhad sekiranya memutuskan untuk campur tangan membantu syarikat penerbangan tambang rendah itu, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, langkah itu menggunakan pendekatan sama seperti penstrukturan semula Vantris Energy Berhad, antara lain merangkumi pengukuhan lembaga pengarah dan pengurusan, selain menangani masalah kewangan sedia ada bagi memastikan kelangsungan serta membina syarikat yang lebih kukuh.
Menurutnya lagi, usaha pengurangan nisbah hutang kepada ekuiti atau 'degearing' juga boleh dipertimbangkan sekiranya perlu bagi memastikan syarikat penerbangan tersebut dapat terus bertahan.
"Bagaimanapun, kerajaan setakat ini belum lagi membuat sebarang komitmen untuk memberikan bantuan kewangan kepada AirAsia, termasuk melalui jaminan pinjaman atau suntikan dana awam," tegas Amir Hamzah dalam sesi persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.
Kerajaan sebelum ini menyalurkan bantuan RM1.1 bilion kepada Vantris, yang ketika itu dikenali sebagai Sapura Energy Berhad, pada Mac 2025 melalui Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH) menerusi langganan saham pinjaman boleh tebus dan boleh tukar.
Suntikan itu bertujuan melindungi ekosistem minyak dan gas (O&G) domestik, dengan dana MDH dikhususkan untuk pembayaran kepada vendor. Vantris turut dikehendaki merombak lembaga pengarah bagi memperkukuh pemantauan serta mekanisme semak dan imbang.

Menjelaskan lanjut, Amir Hamzah berkata, campur tangan mungkin dipertimbangkan sekiranya kedudukan kewangan AirAsia didapati terus merosot, memandangkan kerajaan mahu mengelakkan gangguan terhadap hubungan dan perkhidmatan penerbangan dalam negara.
"Sebarang keputusan akan mengutamakan kepentingan negara dan rakyat, selain memastikan dana awam diberikan keutamaan sewajarnya dalam sebarang proses penstrukturan semula. Matlamat kerajaan bukan melindungi pemegang saham, sebaliknya menjaga kepentingan rakyat," katanya.
Beliau turut menjelaskan sebarang pertimbangan bantuan akan terhad kepada operasi penerbangan AirAsia di Malaysia dan tidak meliputi syarikat penerbangan kumpulan itu di Thailand, Indonesia, Filipina serta Kemboja, ataupun entiti di bawah Capital A Berhad.
AirAsia dilaporkan sedang mendapatkan pembiayaan bagi menangani tekanan akibat kenaikan harga bahan api pesawat dan kerugian pertukaran asing (forex). Kumpulan itu menguasai 60% pasaran penerbangan domestik Malaysia dan merekodkan liabiliti semasa RM18.4 bilion setakat 30 Jun 2026.
Pada 1 Oktober 2026, The Edge Malaysia melaporkan bahawa Kementerian Kewangan (MOF) membantu Alton Aviation Consultancy, penasihat kumpulan itu, mendapatkan bakal pemberi pinjaman dan pelabur bagi usaha mengumpul sehingga AS$1 bilion (kira-kira RM4.1 bilion).
Kedudukan kewangan AirAsia turut mencatatkan kerugian bersih selama tiga suku berturut-turut. Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, ia merekodkan kerugian bersih RM378.37 juta daripada hasil RM4.66 bilion, menjadikan kerugian terkumpul sembilan bulan sebanyak RM857.16 juta berbanding hasil RM15.7 bilion. - DagangNews.com






