Kerajaan Negeri Sembilan mesti berjalan seperti biasa – Jalaluddin

LocalPolitics
28 Sep 2026 • 12:12 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kerajaan Negeri Sembilan mesti berjalan seperti biasa – Jalaluddin

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Sembilan mesti terus berfungsi seperti biasa meskipun pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan dibatalkan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan,  Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, perkara itu menjadi antara intipati utama perbincangan bagi mencari pendekatan terbaik untuk memastikan pentadbiran kerajaan negeri dapat diteruskan.

Katanya, perkara itu juga harus menjadi tumpuan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim pada ketika ini untuk memastikan pentadbiran kerajaan negeri dapat diteruskan.

“Intipati kepada perbincangan ialah kerajaan Negeri Sembilan mesti berjalan seperti biasa untuk kesejahteraan dan kepentingan rakyat.

“Itu yang mesti diberi penumpuan oleh kerajaan yang dipimpin oleh Menteri Besar. Insya-Allah, daripada perbincangan yang panjang lebar ini akan ada satu pendekatan untuk pihak kerajaan berjalan seperti biasa untuk kepentingan rakyat,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di sini, hari ini.

Jelas Jalaluddin lagi, terdapat pelbagai kaedah yang boleh digunakan bagi memastikan kerajaan negeri terus berfungsi, selain memberi ruang kepada Menteri Besar menggunakan formula yang sesuai untuk menggerakkan jentera pentadbiran.

“Dan tentunya Menteri Besar mempunyai formula tertentu untuk menggerakkan jentera kerajaan supaya agenda bagi meneruskan program-program yang berkaitan dengan kepentingan rakyat dapat kita teruskan,” katanya.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, mesyuarat itu diadakan bagi menyelaras dan mengenal pasti jalan penyelesaian terbaik terhadap kemelut berkenaan dengan mengambil kira Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan serta adat.

Beliau berkata perbincangan berkenaan bukan bertujuan mencampuri urusan negeri, sebaliknya bagi mencari jalan terbaik dalam menyelesaikan kemelut yang sedang dihadapi.

The post Kerajaan Negeri Sembilan mesti berjalan seperti biasa – Jalaluddin appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved