
SEBERANG PERAI – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil individu yang terlibat termasuk bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bagi membantu siasatan berhubung beberapa laporan polis berkaitan isu institusi diraja Negeri Sembilan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail berkata, kertas siasatan telah dibuka dan pihaknya akan mengambil keterangan daripada beberapa individu terbabit mulai esok atau Selasa nanti.
Menurutnya, beberapa individu sebelum ini telah dipanggil bagi membantu siasatan sebagai saksi dan tindakan susulan akan dijalankan terhadap pihak lain yang berkaitan.
“Kita akan mengambil tindakan untuk menjalankan siasatan, mengambil kenyataan daripada mereka yang berkaitan, termasuklah mantan ahli-ahli Exco, dan juga mereka-mereka yang terlibat, Undang-Undang, Menteri Besar, dan lain-lainnya.
“Dan insya-Allah, benda ini mungkin akan bermula pada hari Isnin atau Selasa yang akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Inisiatif Pencegahan Jenayah Whitening The Black Spot – Unite For Safety di PICCA Convention Centre @ Butterworth Arena, di sini, hari ini.
Mohd. Khalid berkata, selepas siasatan lengkap, kertas siasatan akan dikemukakan kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.
Mengulas mengenai seksyen undang-undang yang digunakan dalam siasatan itu, beliau berkata, pihaknya masih belum membuat penelitian secara menyeluruh berhubung kesalahan yang mungkin terbabit. – KOSMO! ONLINE
The post Krisis Negeri Sembilan: Polis panggil bekas Exco esok atau Selasa – KPN appeared first on Kosmo Online.






