Kerajaan Negeri Sembilan perlu beri penjelasan terbuka kenapa gantung SUK, Penasihat Undang-Undang - AMH

LocalPolitics
22 Sep 2026 • 7:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kerajaan Negeri Sembilan perlu beri penjelasan terbuka kenapa gantung SUK, Penasihat Undang-Undang - AMH
Laporan Sinar Harian.

SEREMBAN - Angkatan Muda Harapan (AMH) Negeri Sembilan mempersoalkan keputusan kerajaan negeri menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal secara serentak dan berkuat kuasa serta-merta.

Menerusi kenyataan media, AMH berkata, kerajaan negeri perlu memberikan penjelasan terbuka mengenai sebab penggantungan kedua-dua pegawai kanan berkenaan, khususnya mengenai masa keputusan itu dibuat.

“Persoalannya mudah, mengapa mereka digantung dan mengapa sekarang?

“Kedua-dua jawatan ini mempunyai peranan penting dalam memberikan nasihat pentadbiran dan perundangan kepada kerajaan negeri, lebih-lebih lagi ketika Negeri Sembilan sedang berdepan krisis perlembagaan yang serius,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

AMH berkata, pihaknya tidak membuat kesimpulan bahawa kedua-duanya digantung kerana memberikan nasihat yang tidak disenangi kerajaan.

Namun ujarnya, kerajaan negeri perlu menjelaskan sama ada tindakan tersebut mempunyai sebarang kaitan dengan pandangan atau nasihat profesional yang diberikan oleh mereka berhubung krisis perlembagaan semasa.

"Perkembangan itu mengingatkan rakyat kepada pergolakan politik pada 2015 ketika kontroversi 1MDB memuncak.

“Jangan ulangi politik lama. Rakyat berhak bertanya sama ada budaya politik seperti ini sedang berulang, apabila ada yang menghalang, mempertikaikan atau memberikan nasihat yang tidak mahu didengar, mereka disingkirkan,"katanya.

Tegasnya, sekiranya kedua-dua pegawai terbabit melakukan kesalahan atau berdepan isu tata-tertib, kerajaan perlu menyatakan asas tindakan serta proses yang sedang dijalankan.

“Jika penggantungan ini langsung tidak berkaitan dengan krisis perlembagaan, nyatakan dengan jelas kepada rakyat.

“Jangan sampai timbul persepsi bahawa bila ada yang menghalang, semua disingkirkan,"katanya.

Tambahnya, Negeri Sembilan memerlukan pentadbiran yang menghormati undang-undang, proses dan institusi, bukannya budaya ‘siapa halang, kita singkir’.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved