Jabatan Peguam Negara (AGC) berpandangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan tidak mempunyai bidang kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Penasihat Undang-Undang Negeri terbabit.
AGC menerusi satu kenyataan lewat malam tadi (22 Sept) berkata, urusan berkaitan pelantikan serta penggantungan kedua-dua jawatan kanan itu terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan SPKP.
Ia sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 37 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (“UUTKNS”).
Berhubung cadangan pengisian jawatan Penasihat Undang-Undang Negeri yang baharu, ACG memaklumkan lantikan tersebut tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya sebaliknya perlu mematuhi kerangka perlembagaan negeri yang sama.
“Bagi pelantikan Penasihat Undang-Undang Negeri yang baharu pula, perlu dinyatakan bahawa pelantikannya hendaklah mematuhi Perkara 37 UUTKNS iaitu dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan daripada kalangan anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mengumumkan Mesyuarat Khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan secara sebulat suara menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohd Zafir Ibrahim serta Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal berkuat kuasa serta-merta.
Jelas beliau, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Masri Razali telah dinamakan bagi melakukan tugas SUK Negeri Sembilan sehingga Ketua Setiausaha Negara (KSN) menamakan SUK yang baharu.
Tindakan ini dipercayai diambil berikutan keenganan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan untuk mengambil sebarang tindakan pewartaan mahupun sebarang tindakan pelaksanaan ke atas Proklamasi berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar bertarikh 19 April.
Menurut SUK Negeri Sembilan langkah berkenaan selaras dengan kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Peguam Negara (AGC) bahawa proklamasi tersebut tidak sah, oleh itu ia menjadikan tindakan pewartaan sebagai tidak berperlembagaan.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: SUK & Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan Digantung Tugas Serta-merta – Ismail Lasim
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Isu Penurunan Takhta: Proklamasi 19 April Tidak Akan Diwartakan Oleh Kerajaan Negeri Sembilan – SUK N9







