
Kota Kinabalu: Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah memperkukuh penyelarasan tindakan bagi memastikan bekalan ayam dan telur di negeri ini kekal stabil, selain membantu pengguna mendapatkan barangan keperluan itu pada harga berpatutan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, usaha itu merangkumi penyelarasan kawal selia pengeluaran dan pengedaran, pemantauan harga serta penguatkuasaan mengikut bidang kuasa agensi berkaitan.
Katanya, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Penyelarasan Penstabilan Bekalan Daging Ayam dan Telur Ayam di Sabah yang dipengerusikannya di Perbendaharaan Malaysia, di sini yang turut dihadiri beberapa menteri kabinet kerajaan negeri serta agensi berkaitan.
“Mesyuarat ini meneliti kedudukan semasa bekalan dan harga ayam serta telur di Sabah, selain membincangkan langkah penyelarasan antara kedua-dua kerajaan bagi menangani isu yang timbul dalam rantaian bekalan.
“Penyelarasan ini penting bagi memastikan masalah di peringkat pengeluaran dan bekalan dapat ditangani secara menyeluruh, seiring dengan pemantauan harga serta tindakan penguatkuasaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, Isnin lepas.
Hadir sama Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki; Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar dan wakil jabatan dan agensi berkaitan.
Mengulas lanjut, Armizan berkata peranan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Jabatan Pertanian Sabah, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan KPDN perlu diselaraskan berdasarkan bidang kuasa serta tanggungjawab masing-masing.
Menurutnya, kerjasama antara agensi di peringkat negeri dan Persekutuan juga perlu diperkukuh bagi memastikan maklumat berkaitan bekalan, pengeluaran dan pengedaran dapat dikongsi dengan lebih berkesan.
“Langkah ini turut menjadi asas kepada pembentukan mekanisme penyelarasan yang lebih berkesan, termasuk pembahagian tanggungjawab yang jelas serta pelaksanaan tindakan susulan bagi menangani sebarang isu berkaitan bekalan dan harga.
“Justeru, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan negeru akan terus diperkukuh bagi memastikan bekalan barangan keperluan rakyat sentiasa terjamin dan dapat diperoleh pada harga berpatutan,” katanya.






