
KUALA LUMPUR - DAP menegaskan parti itu tidak pernah terlibat dalam sebarang gerakan mencetuskan krisis politik di Negeri Sembilan, sebaliknya kekal konsisten memberi tumpuan penuh kepada khidmat rakyat.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, tuduhan liar yang cuba mengaitkan parti berkenaan dengan kemelut pentadbiran negeri — termasuk dakwaan ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu — adalah tidak berasas sama sekali memandangkan DAP tidak berada dalam pentadbiran kerajaan negeri ketika ini.
Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban mendedahkan, Barisan Nasional (BN) yang mempunyai majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) sepatutnya tidak mempunyai halangan untuk meneruskan pentadbiran seperti biasa.
Beliau menyifatkan situasi semasa pentadbiran negeri sebagai sesuatu yang tidak munasabah berikutan ketiadaan Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) untuk meluluskan keputusan rasmi.
“Seperti yang saya katakan, kita fokus kepada kerja kita. Paling penting, saya pesan kepada wakil rakyat yang dipilih, kekal fokus kepada tugas. Pergolakan di Negeri Sembilan ini macam tidak ada kesudahan.
“Sudah tentu perkara ini isu yang rumit kerana melibatkan pelbagai aspek, ini di luar tugas kita. Apa yang berlaku hari ini bukan disebabkan kita,” katanya selepas menghadiri Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan kali ke-24 di sini, hari ini.
Mengulas mengenai titah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir supaya Menteri Besar mengemukakan nama baharu bagi mengisi kekosongan jawatan Exco, Loke menegaskan ia sudah memberi ruang jelas untuk menyelesaikannya.
“Jadi, sebenarnya tidak ada masalah, mereka boleh memilih orang lain tetapi terpulanglah kepada tindakan mereka, memang sesuatu yang pelik sebuah kerajaan negeri hanya mempunyai seorang Menteri Besar, tiada ahli Exco,” katanya sambil memberi amaran ketiadaan Exco boleh melumpuhkan kelancaran urusan tadbir urus negeri.
Melihat kepada situasi politik negeri yang tidak menentu, Loke mengarahkan jentera DAP untuk bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan pilihan raya tanpa perlu terikut-ikut dengan krisis pihak lawan.
Beliau turut memuji rekod pentadbiran Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan di bawah kepimpinan Pengerusi PH negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun sepanjang lapan tahun lalu yang bebas daripada sebarang skandal rasuah.
Sementara itu, Aminuddin dalam ucapannya mengesahkan PH Negeri Sembilan menetapkan sasaran agresif untuk menambah kerusi serta merampas semula Parlimen Tampin pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang menerusi komitmen berterusan jentera parti di lapangan. - 11 Oktober, 2026
The post ‘Kerajaan pelik hanya ada MB tanpa Exco’: Loke nafi jadi punca kemelut politik Negeri Sembilan appeared first on Scoop.






