
ALOR GAJAH: Kerjasama antara parti perlu diteruskan meskipun mempunyai perbezaan pendirian, khususnya selepas sesuatu pilihan raya berakhir.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyokong tindakan kerajaan yang bersedia mendedahkan kandungan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) kepada umum supaya rakyat dapat mengetahuinya.
Katanya, persaingan ketika pilihan raya tidak seharusnya menyebabkan permusuhan berpanjangan sehingga menjejaskan hubungan dan kerjasama pembangkang dengan kerajaan.
“Kalau boleh semua kena kerjasama sebenarnya. Kalau waktu pilihan raya bolehlah kita bertentang-bertentang, tapi luar daripada pilihan raya ini tak ada sebab kita nak teruskan permusuhan itu.
“Jangan parti itu memecah-belahkan kita,” katanya ketika ditemui semasa kempen Barisan Nasional (BN) di Durian Tunggal di sini hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedia mendedahkan kandungan CSA yang dimeterai dengan pembangkang, susulan desakan Pas supaya butiran perjanjian itu diumumkan.
Menurut Anwar, pihaknya tiada halangan untuk berbuat demikian kerana prinsipnya sama seperti perjanjian yang pernah dimeterai antara kerajaan dan pembangkang sebelum ini.
Ismail Sabri berkata, CSA bukanlah perkara baharu dalam landskap politik negara kerana pendekatan itu telah dimulakan selepas Langkah Sheraton.
“CSA bukan perkara baharu. Saya yang mulakan CSA dulu.
“Kalau kerajaan hari ini nak dedahkan, boleh sajalah rakyat tengok apa yang terkandung di dalam perjanjian tersebut,” -UTUSAN
The post Kerajaan-pembangkang tak sepatutnya bermusuh selepas pilihan raya appeared first on Utusan Malaysia.






