Kerajaan percepat usaha tangani banjir berulang - Anwar

LocalPolitics
13 Nov 2026 • 4:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kerajaan percepat usaha tangani banjir berulang - Anwar
Anwar melihat pelan cadangan pembangunan Madrasathul Gouthiyyah Surau Brickfields selepas menunaikan solat Jumaat. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mempercepat usaha menangani banjir berulang termasuk menambah peruntukan dan meningkatkan kekerapan kerja pembersihan parit serta sungai bagi mengurangkan risiko.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan itu perlu diselaraskan segera antara semua jabatan berkaitan dengan kerajaan negeri bagi mengurangkan beban penduduk yang terpaksa berdepan banjir berulang.

Menurut beliau, pendekatan penyelenggaraan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang meningkatkan kekerapan pembersihan parit dan sungai kepada enam kali setahun berbanding dua kali sebelum ini, perlu dijadikan contoh.

"Keputusan ini dibuat hasil pertemuan saya dengan menteri-menteri dan kerajaan negeri Selangor semalam (Khamis). Saya bermesyuarat di Parlimen kerana masalah yang dihadapi kesan banjir berterusan.

"Menteri Besar (Selangor) telah meluluskan peruntukan kewangan lebih banyak dan tindakan di semua peringkat. Jadi majlis perbandaran, pejabat daerah diminta menjalankan penguatkuasaan membersihkan parit dan laluan," katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Madrasathul Gouthiyyah, Brickfields, pada Jumaat.

Sebelum ini media melaporkan, seramai 1,138 orang daripada 316 keluarga ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) di Kuala Selangor.

PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Maharaja Lela menempatkan 393 penduduk terjejas, Sekolah Rendah Agama Bukit Kuching (290), SK Parit Mahang (248), Kafa Integrasi Hidayah (81), Sekolah Agama Batu 8 Ijok (77) dan SK Jaya Setia (12) dan Dewan Komuniti Penyayang Tanjung Siam (36).

Dalam pada itu Anwar turut mengarahkan semua jabatan berkaitan, termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memulakan tindakan segera tanpa menangguhkan pelaksanaan kerja yang telah dipersetujui.

Beliau menjelaskan, faktor hujan lebat dan peningkatan paras air laut mungkin sukar dikawal, namun usaha tambahan perlu dilaksanakan bagi mengurangkan risiko serta beban yang ditanggung penduduk.

"Setiap langkah tambahan yang kita ambil akan mengurangkan beban rakyat (termasuk) bantuan ditambah daripada RM1,000 jadi RM2,500, (tambahan) RM500 daripada kerajaan Selangor jadi RM3,000. Tetapi itu pun tidak akan dapat mengurangkan kepayahan yang dialami," ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved