Kerajaan Perlu Bertindak Segera, Fokus Kesihatan Mental Murid Berisiko Tinggi

LocalHealth & Fitness
20 Aug 2026 • 8:51 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) digesa membangunkan Kerangka Nasional Kesihatan Mental dan Pencegahan Bunuh Diri Murid pada kadar segera.

Timbalan Setiausaha Agung PKR, Sivamalar Genapathy berkata, kerangka tersebut adalah langkah kritikal melibatkan penjagaan kesihatan mental untuk murid yang berisiko tinggi. 

Menurut beliau, tumpuan khusus perlu diberi kepada pengesanan dan intervensi awal, pengukuhan perkhidmatan kaunseling sekolah, mekanisme aduan buli yang selamat dan sulit, serta laluan rujukan segera kepada profesional kesihatan mental.

“Sekolah mesti menjadi tempat paling selamat untuk seorang anak selepas rumahnya sendiri.

“Tiada seorang pun anak Malaysia harus dibiarkan berasa dirinya lebih rendah kerana bangsa, agama, warna kulit, rupa paras atau latar belakangnya, dan tiada seorang anak yang sedang bergelut dengan kesihatan mental sepatutnya dibiarkan berdepan masalah itu seorang diri,” katanya.

Sivamalar Genapathy
Sivamalar Genapathy

Jelas Sivamalar, beliau amat sedih dengan pemergian seorang pelajar berusia 14 tahun dari SMK Danau Kota di sini, Keziah Nisha a/p Govindasamy beberapa hari lalu.

Pelajar malang terbabit dikatakan ditemui dalam keadaan tergantung di bilik tidurnya. 

“Saya merakamkan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya kepada ibu bapa dan seluruh keluarga Keziah. Kehilangan seorang anak pada usia yang begitu muda adalah tragedi yang amat berat untuk ditanggung oleh mana-mana keluarga.

“Laporan dan maklumat awal berhubung dakwaan bahawa Keziah berhadapan dengan buli, ejekan serta kata-kata berunsur perkauman amat membimbangkan,” katanya.

Mengakui bimbang dengan perkembangan itu, Sivamalar berkata, dakwaan tersebut perlu disiasat secara menyeluruh, telus dan adil. 

“Kita tidak harus mendahului siasatan, tetapi dakwaan bahawa seorang anak dihina atau dipandang rendah kerana bangsa, warna kulit atau rupa parasnya tidak boleh dipandang ringan.

“Keziah bukan satu-satunya anak yang telah kita kehilangan. Pada Mac 2024, seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat berusia 16 tahun meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga sebuah bangunan sekolah di Sungai Buloh. Pada Oktober tahun yang sama, seorang lagi pelajar Tingkatan Satu berusia 13 tahun meninggal dunia selepas terjatuh dari sebuah bangunan sekolah di Kuala Lumpur.

“Sebulan kemudian, seorang pelajar Tingkatan Dua berusia 14 tahun meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat lapan sebuah sekolah di Jelutong, Pulau Pinang. Pada Julai 2025, negara pula dikejutkan dengan kematian Zara Qairina Mahathir, pelajar berusia 13 tahun di Sabah. Prosiding inkues kematiannya kemudiannya turut mengetengahkan isu berkaitan buli lisan, pemulauan dan buli siber,” katanya.

Pesanan terakhir yang dikatakan ditinggalkan Keziah untuk ibunya
Pesanan terakhir yang dikatakan ditinggalkan Keziah untuk ibunya

Bagaimanapun tegas Sivamalar, setiap kes mempunyai fakta dan keadaan yang berbeza dan tidak wajar semuanya diklasifikasikan sebagai kes bunuh diri. 

Namun jelasnya, rentetan tragedi melibatkan anak-anak usia persekolahan, bersama isu buli, tekanan emosi dan kesejahteraan mental, merupakan amaran yang tidak lagi boleh diabaikan.

“Data National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2022 menunjukkan 13.1 peratus remaja yang dikaji pernah mempunyai pemikiran untuk membunuh diri, 10 peratus pernah membuat perancangan dan 9.5 peratus melaporkan pernah melakukan percubaan membunuh diri.

“Ini bukan sekadar isu disiplin sekolah. Ini adalah isu keselamatan kanak-kanak dan kesihatan awam yang memerlukan tindakan nasional,” katanya.

Sivamalar menarik perhatian, pihak polis menjalankan siasatan yang menyeluruh dan telus, apatah lagi apabila keluarga Keziah difahamkan telah membuat aduan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) beberapa bulan sebelum tragedi terbabit.

“Maklumat ini amat serius dan perlu disahkan serta disiasat segera. Pihak polis perlu mendapatkan rekod aduan tersebut dan menentukan apakah tindakan susulan yang telah diambil. 

“Sekiranya siasatan mendapati wujud perbuatan buli, ugutan, penghinaan berunsur perkauman atau apa-apa kesalahan di sisi undang-undang, mereka yang bertanggungjawab wajib dibawa ke muka pengadilan,” katanya. - Getaran, 20 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved